Semai semangat kenegaraan remaja

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sebagai usaha menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja, Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan bagi Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas itu ialah Pemangku Timbalan Pengetua Sekolah (Pentadbiran) SM SMJA, Dayang Norazian binti Abdullah.

Seramai 57 orang pelajar serta tenaga pengajar SM SMJA menghadiri majlis berkenaan yang bertujuan bagi mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya peka dengan perkembangan dan hal ehwal sekeliling mereka.

Selain itu, ia juga bertujuan bagi memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif, dan dalam masa yang sama untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

Semasa program itu, taklimat kenegaraan bertajuk ‘Raja Kita, Menghayati Bendara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Hajo Idris.

Program turut dimeriahkan dengan persembahan Tarian Tradisional Kontemporari oleh pelajar-pelajar SM SMJA dan diikuti dengan persembahan nyanyian solo oleh Awang Mohammad Nor Amirudin bin Haji Brahim dari Jabatan Penerangan, yang juga merupakan juara Bintang Penerangan.

Acara diakhiri dengan lawak jenaka dan kuiz kenegaraan oleh Hajah Kasumawati binti Haji Buntar dan Haji Mohd Firdaus bin Haji Salleh sebelum ditutup dengan majlis penyampaian hadiah kuiz dan cenderamata.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Awang Mohammad Hisyam bin Idris.

Persembahan nyanyian solo oleh juara Bintang Penerangan turut memeriahkan program.
Antara pelajar dan tenaga pelajar SM SMJA yang hadir pada program berkenaan.