Semai semangat patriotik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Sebagai usaha berterusan untuk menyemai semangat patriotisme pelajar-pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, hari ini, telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Perpustakaan Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Kilanas.

Taklimat yang mengetengahkan mengenai dengan raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan dengan terperinci itu dihadiri oleh seramai 191 orang pelajar Tahun 7 termasuk guru-guru, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Pada majlis berkenaan, taklimat disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan, Awang Nurakram bin Noraini @ Bahrin yang menjelaskan mengenai sejarah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Awang Mohammad Nurakram memberikan penerangan semasa sesi taklimat yang diadakan di Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Kilanas, kelmarin.