Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Sebagai salah satu usaha berterusan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan di Sekolah Arab Rimba, hari ini.
Program Taklimat Kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan telah dihadiri oleh lebih 200 orang penuntut Tahun 7 sekolah tersebut.
Antara pengisian program adalah sesi taklimat kenegaraan yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Awang Mohammad Hisyam bin Idris selaku ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan.
Awang Mohammad Hisyam dalam taklimatnya antara lain menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan lebih terperinci.
Program turut diisikan dengan menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’ dan diakhiri dengan kuiz kenegaraan bagi penyertaan para penuntut yang hadir.
Menerusi penganjuran program ini, ia diharap dapat mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui cintakan raja, bendera negara dan lagu kebangsaan.





























