Semai sifat ihsan belia

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Dalam usaha mendedahkan belia cara-cara pengurusan dan pengendalian program kemasyarakatan, Biro Belia Masjid Kampung Lambak Berakas telah mengungkayahkan Program Jalinan Kasih Belia Masjid Kampung Lambak Berakas di masjid kampung tersebut, kelmarin.

Program menumpukan pengagihan bantuan persekolahan yang disumbangkan oleh penderma yang enggan dikenali dan ahli keluarga belia Masjid Kampung Lambak, Berakas.

Lebih 30 orang yang memerlukan dari Kampung Lambak Berakas, Perumahan Mengkubau, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri dan RPN Kampung Lambak menerima sumbangan berupa hamper yang mengandungi beg sekolah, buku, alat tulis, baju sukan, yuran selama setahun, buku-buku persekolahan yang dikeluarkan oleh pihak sekolah dan diserahkan kepada penerima serta kelas tambahan percuma selama setahun di Masjid Kampung Lambak Berakas yang diajarkan oleh tenaga pengajar berkelulusan, yang gaji mereka dibayarkan oleh dua buah syarikat.

Program juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para belia masjid dengan masyarakat setempat dan menyemai sifat ihsan dalam diri mereka terhadap nasib orang-orang tidak berkemampuan.

Ia juga diharap dapat mengajarkan belia untuk membantu menyebarkan misi kemasyarakatan, menjadikan mereka sebagai belia contoh serta meringankan masalah pelajar berkaitan dengan persekolahan menjelang tahun baharu.

Penganjur juga berharap ia mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang terbabit agar ia dapat dijayakan dan mencapai matlamat yang digariskan.

Anggota Biro Belia Masjid Kampung Lambak Berakas menyampaikan bantuan persekolahan kepada salah seorang penerima semasa acara tersebut.