Semai sifat patriotik dalam jiwa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 tahun, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan acara menaikkan bendera yang berlangsung di perkarangan PDI, Kampung Pulaie, baru-baru ini.

Hadir bagi sama-sama menyaksikan acara tersebut ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, para pegawai kanan, pegawai serta kakitangan PDI.

Acara telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Mohammad Nasyith bin Superi sebelum diteruskan dengan ucapan daripada Haji Abdul Rajid.

Kemudian, acara diteruskan lagi dengan upacara menaikkan bendera dengan diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ beramai-ramai.

Untuk memberkati acara, Doa Selamat dibacakan oleh Awangku Muhammad Fuad bin Pengiran Haji Sulaiman sebelum majlis diakhiri dengan perarakan serta pengibaran bendera-bendera kecil di perkarangan PDI.

Antara objektif upacara berkenaan adalah bagi menimbulkan rasa patriotik dalam kalangan warga perkhidmatan awam khususnya PDI dalam menyemai rasa cinta serta kasih terhadap Negara Brunei Darussalam.

Upacara menaikkan bendera di perkarangan PDI, baru-baru ini.