Semak sijil vaksinasi, elak kena tipu – Shahrulezad

Pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohameddin menyelar tindakan sesetengah produksi sanggup memalsukan sijil vaksinasi semata-mata mahu mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Mendedahkannya dalam laman sosial, pengarah drama Nur itu meluahkan kekesalan dan kecewa terhadap golongan yang cuba menutup periuk nasi penggiat seni lain disebabkan sikap tidak jujur. Ini susulan kekecohan berlaku apabila isu tujuh kru produksi didakwa pulang ke Kuala Lumpur selepas penularan COVID-19 ketika menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Ketika aktiviti penggambaran bernafas semula selepas hampir lima bulan terhenti, insiden ini menunjukkan masih ada segelintir penggiat industri yang melihat isu COVID-19 sebagai sesuatu yang remeh. Shahrulezad mendakwa, dia mendapat tahu ada pelakon dan kru bersekongkol dengan pihak tertentu untuk membeli sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera berdasarkan spekulasi bertebaran.

“Walaupun sekadar khabar angin, apabila sudah terdesak macam-macam boleh berlaku. Jika surat cuti sakit pun boleh dibeli, tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku pada sijil vaksinasi,” dakwanya.

Shahrulezad mengharapkan penguatkuasaan terhadap penggunaan aplikasi MySejahtera lebih diperketatkan, terutama daripada segi status pemberian vaksin se-tiap individu.

“Jika tidak dibendung lebih awal, tidak mustahil perkara ini boleh berlaku. Justeru, saya harap kerajaan boleh melakukan sesuatu seperti penguatkuasaan lebih ketat agar sindiket pemalsuan sijil vaksinasi dapat disekat. Selain itu, tindakan tegas wajar dikenakan kerana ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah meletakkan keselamatan dan kesihatan orang lain dalam risiko,” ujarnya.

Sebagai penerbit, Shahrulezad berkata, dia bertanggungjawab bagi memastikan syarikat produksinya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, tegas Shahrulezad, dia tidak akan berkompromi dengan artis dan kru yang belum lengkap dua dos vaksin bekerja di bawah produksinya. – Agensi

Shahrulezad Mohameddin menyelar tindakan sesetengah produksi sanggup memalsukan sijil vaksinasi semata-mata mahu mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). – Agensi