Semakin banyak pelonggaran 27 Julai ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Dengan situasi pandemik koronavirus COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada masa ini dalam keadaan terkawal, atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial.

Antara tambahan pengurangan langkah-langkah berkenaan ialah memulakan tahap pertama (level 1) bagi arked dan taman permainan kanak-kanak (indoor dan outdoor); menaikkan daripada tahap pertama ke tahap kedua bermula bagi kolam renang, panggung wayang, pusat kegiatan warga emas, dan perkumpulan ramai; menaikkan daripada tahap ke-dua ke tahap ketiga bagi kelas berkeperluan khas, pusat penjagaan kanak-kanak, muzium, galeri dan perpustakaan, dan kafe internet yang kesemuanya bermula 27 Julai ini.

Manakala bagi bidang pendidikan pula, dinaikkan ke tahap keempat pada tarikh yang sama bagi sekolah, pendidikan teknikal, vokasional dan tinggi, sekolah tuisyen, sekolah muzik dan sekolah memandu.

Turut naik pada tahap keempat ialah gim dan pusat kecergasan, kemudahan sukan, golf, restoran, kafe dan medan selera, gerai dan pasar pada tarikh yang sama, manakala tahap keempat bermula pada 03 Ogos 2020 bagi masjid, surau dan balai-balai ibadat, tempat-tempat ibadat selain masjid dan surau; sementara itu, ekspo dan pameran perdagangan juga akan dibenarkan berlangsung dengan syarat-syarat tertentu.

Pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika mengumumkan langkah pelonggaran tahap keempat negara.
Taman permainan dan arked-arked dibenarkan beroperasi pada kadar 30 peratus. – Gambar fail

Sementara itu, Yang Berhormat Dato juga menjelaskan mengenai syarat-syarat pengurangan langkah-langkah sosial bagi aktiviti-aktiviti tertentu.

“Bermula 27 Julai 2020, perkumpulan ramai adalah dibenarkan dengan keramaian tidak melebihi 100 orang sahaja manakala tempat ibadat lain selain masjid dan surau dibenarkan beroperasi pada kapasiti biasa mulai 3 Ogos.

“Arked dan taman permainan kanak-kanak (indoor dan outdoor) akan dibenarkan beroperasi pada kadar 30 peratus daripada kapasiti biasa pada satu-satu masa.

“Garis panduan bagi kesemuanya akan dimuat naik ke laman sesawang Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau turut memberikan peringatan bahawa orang ramai adalah dikehendaki untuk mematuhi segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial tersebut.

“Sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau boleh didakwa ke mahkamah yang membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kementerian ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan,” tegas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.