Semangat Angelino kembali berkobar

BERLIN, 26 FEB – Angelino (gambar bawah) membangkit semula kariernya di Bundesliga di bawah tunjuk ajar Julian Nagelsmann untuk menjadi penjaring terbanyak buat RB Leipzig, tetapi dia berkata kurang kepercayaan dari Pep Guardiola ‘membunuh’ keyakinan di bekas kelabnya, Manchester City.

Pemain tempat kedua, Leipzig akan menjadi tuan rumah kepada Moenchengladbach pada Sabtu selepas kembali meneruskan cabaran merebut kejuaraan Bundesliga dan ketinggalan di belakang pendahulu, Bayern Munich dengan hanya dua mata.

Selepas penyerang Timo Werner meninggalkan Leipzig untuk menyertai Chelsea pada musim panas, pemain berusia 24 tahun, Angelino telah memintas kedudukan selaku penjaring terbanyak kelab setakat musim ini dengan lapan gol dan 11 assist dari bahagian tepi, sama ada bermain sebagai pemain sayap atau bek kiri.

“Jika seseorang menaruh kepercayaan kepada anda dengan tinggi, memberikan peluang bermain setiap minggu, anda akan membalas semula kepercayaan tersebut,” kata Angelino memberitahu majalah Kicker mengenai bekerja di bawah pengurus Leipzig, Nagelsmann. – AFP