Semangat berdikari seawal usia remaja

Oleh Lenna N.B.

 

SENI solek adalah salah satu bidang keusahawanan yang banyak menarik artis-artis solekan tanahair, antara yang dikenali seperti Elly Asbellah, Hafeezah Mahadi, Suzyniekman, Myra Nordin, Won.touch dan banyak lagi bakat-bakat anak tempatan yang menjadikan jurusolek sebagai karier sepenuh masa. Namun, pada kali ini menarik Media Permata adalah kemahiran seorang remaja 14 tahun, Dayang Hana Safira Salni, yang mempunyai kebolehan dalam kemahiran seni solek.

Dayang Hana yang lebih selesa dipanggil Nana, sudah mula memegang alat solek seawal usia empat tahun apabila dia berangan untuk menjadi Puteri Salju.

Menurut kakaknya, Mona yang juga pengurusnya, sejak kecil lagi Nana selalu bermain dengan alat solek sehingga terdapat barang-barang seperti eyeliner, gincu dan lain-lain hilang olehnya. Sejak itu, mereka sudah menyedari minat Nana sejak kecil lagi.

Mengasah bakat

Keluarga Nana adalah terdiri daripada ahli perniagaan. Sebelum ini, Nana pernah didedahkan dengan kerja-kerja pejabat dalam melihat masa depannya memperkembangkan perniagaan keluarga. Namun, Nana ternyata tidak berminat.

Dayang Hana Safira Salni, 14, yang lebih selesa dipanggil Nana, ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
Dayang Hana Safira Salni, 14, yang lebih selesa dipanggil Nana, ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
Salah satu kelas solekan yang disertai oleh Nana dan mungkin satu-satunya peserta yang termuda pada masa itu.
Salah satu kelas solekan yang disertai oleh Nana dan mungkin satu-satunya peserta yang termuda pada masa itu.
Nana ketika menyertai kelas di Yohannes Bridal, Indonesia.
Nana ketika menyertai kelas di Yohannes Bridal, Indonesia.
Usia 14 tahun bukan penghalang untuk Nana menjadi salah seorang artis seni solekan tanahair.
Usia 14 tahun bukan penghalang untuk Nana menjadi salah seorang artis seni solekan tanahair.

Menyedari dengan hakikat itu, keluarga kemudiannya mengambil keputusan untuk mengasah bakat Nana di bidang solekan ketika usianya sekarang ini kerana dia bukan sahaja dapat menjana pendapatan sendiri tetapi juga dapat menjadi salah seorang pekerja dalam syarikat perniagaan keluarga mereka, khususnya Bali Pitstop Spa & Salon, yang akan membukakan perkhidmatan jurusolek di masa akan datang dengan adanya kebolehan dan kemahiran Nana.

Bermula bulan November 2016 lalu, Nana buat pertama kali menyertai bengkel tatarias atau solekan yang diselia oleh Dewitian iaitu artis jurusolek dari Bandung, Indonesia yang mengadakan kelas di Kampung Pancur Papan Tutong. Penyertaan kelas tersebut adalah usaha keluarga dalam membantu Nana mengejar minatnya di samping mengasah bakatnya.

Nana seterusnya menyertai kelas Yohannes Bridal di Indonesia, iaitu industry jurusolek yang agak dikenali di sana dan telah melahirkan banyak artis-artis jurusolek terkemuka.

Di Yohannes Bridal, Nana telah menuntut ilmu dari seramai lima ke enam guru, yang bukan sahaja mengajar perihal solekan wajah tetapi juga merangkumi pendandanan rambut, dan lain-lain ilmu kecantikkan.

Kini, Nana sedang dalam latihan untuk menghalusi kemahiran tangannya di samping akan menghadiri kelas-kelas profesional seterusnya.

Melihat kepada usia mudanya, mungkin agak jauh untuk Nana mencapai kariernya, namun latihan demi latihan, serta kelas demi kelas akan membawanya setanding dengan artis-artis jurusolek tanahair.

“Saya memilih Indonesia kerana ia dikenali dengan kebolehan seni solekan mereka apatah lagi bentuk wajah, mata, bibir dan sebagainya hampir sama dengan kita, iaitu berwajah Melayu. Jadi tempat Nana belajar haruslah berlatarkan nusantara sesuai dengan pasaran di negara kita,” jelas Nana ketika ditemui oleh Media Permata baru-baru ini.

Keunikan di sebalik nama ‘Tikus’

Nana dengan kemahirannya bergerak di bawah jenama ‘Nana D’Tikus Makeup Artist’ iaitu melambangkan dirinya serta kelainannya berbanding artis-artis yang lain.

Nana di sebalik tabir proses menatarias.
Nana di sebalik tabir proses menatarias.
Memberikan warna ke atas kelopak mata umpama artis seni berkarya di atas kanvas.
Memberikan warna ke atas kelopak mata umpama artis seni berkarya di atas kanvas.
Nana melalui kemahiran tangannya mampu menyerlahkan seri kecantikan seorang pengantin.
Nana melalui kemahiran tangannya mampu menyerlahkan seri kecantikan seorang pengantin.
Salah satu hasil tangan Nana yang ternyata memberikan kesan kejelitaan pada wajah setiap wanita di hari istimewa mereka.
Salah satu hasil tangan Nana yang ternyata memberikan kesan kejelitaan pada wajah setiap wanita di hari istimewa mereka.

Menurut beliau, nama ‘tikus’ adalah diilhamkan dari panggilan keluarganya yang selalu mengelarnya ‘tikus’ semasa kecil. Ini kerana antara personalitinya yang suka makan di waktu malam disebabkan tidak dapat melelapkan mata.

Dari personaliti itu, ia kemudiannya menjadi jenama untuk Nana sendiri menunjukkan sesuatu yang unik tentang dirinya.

Sehingga hari ini, Nana telah memberikan khidmat solekan kepada kira-kira lebih daripada 15 wajah, yang menjadi platform untuk dirinya melaksanakan latihan, melakukan penyelidikan terhadap bentuk-bentuk wajah yang berbeza, proses pengalaman berjumpa klien serta komunikasi.

Proses solekan setakat ini mengikut rekod Nana mencapai satu jam lebih bergantung kepada jenis solekan sama ada untuk perkahwinan, sesi bergambar, solekan makan malam atau sebagainya.

“Kini saya dalam proses untuk cuba mempercepatkan kiraan masa ketika melakukan solekan terhadap klien. Salah satu cabaran bagi sayaadalah bahagian alis mata di wajah serta kontur. Agak susah untuk menyamakan antara dua sisi alis mata dan kontur demi membuatkan ia kelihatan sempurna,” ucap Nana.

Ingin berdikari

Menurut Nana, walaupun keluarga berlatarbelakangkan ahli perniagaan namun ia dididik untuk berdikari dan berusaha mencari pendapatan sendiri.

Justeru itu, keluarga sanggup melaburkan wang demi untuk memperkembangkan kemahiran Nana.

Menurutnya, keluarga sudah berbelanja kira-kira $5,000 termasuk bayaran pendaftaran kelas-kelas tatarias, tiket kapal terbang, perbelanjaan barangan solekan dan sebagainya.

Melalui pelaburan tersebut, Nana diharapkan dapat menjana pendapatannya sendiri serta mempunyai karier yang diimpikannya di masa akan datang.

Antara warna-warni peralatan solek milik Nana.
Antara warna-warni peralatan solek milik Nana.
Sijil yang diperolehi oleh Nana baru-baru ini selepas menyertai kelas professional tatarias di Yohannes Bridal, Indonesia.
Sijil yang diperolehi oleh Nana baru-baru ini selepas menyertai kelas professional tatarias di Yohannes Bridal, Indonesia.
Koleksi set berus yang digunakan untuk menatarias pipi, mata, hidung dan sebagainya.
Koleksi set berus yang digunakan untuk menatarias pipi, mata, hidung dan sebagainya.

“InsyaAllah, Nana tidak mensia-siakan pengorbanan keluarga. Nana akan terus belajar dan belajar sehingga berjaya menghasilkan pendapatan sendiri.”

Selain didorong oleh keluarga, Nana juga mengakui telah didorong oleh rakan-rakan sekolahnya. Malah mereka juga sudah mula meminta Nana untuk menyolek wajah mereka apabila sudah meningkat dewasa nanti.

Kreatif melalui warna

“Keseronokan di dalam bidang ini adalah apabila saya dapat menampilkan kreativiti mengikut kehendak hati, bermain dengan warna dan melukis di atas wajah. Wajah bagi jurusolek adalah umpama kanvas, tinggal Nana lagi mewarnai kanvas tersebut supaya kelihatan cantik.”

“Sebenarnya kini saya sudah mula membuka perkhidmatan solekan, namun pada masa yang sama tetap dalam proses belajar. InsyaAllah perkhidmatan solekan pengantin dan sebagainya, akan saya mulakan dengan sepenuhnya dalam sedikit masa lagi, terutama pada waktu hujung minggu di waktu terluang selepas sekolah,” jelas Nana

“Saya tahu di usia ini, mungkin ramai yang meragui kebolehan diri ini namun saya tetap percaya usia bukan penghalang untuk saya mengejar cita-cita dan minat yang mendalam. Saya ada memberikan percubaan solekan bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan solekan. InsyaAllah andai klien percaya dengan khidmat yang diberikan, saya akan melakukan yang terbaik selagi peluang dan ruang ada di depan mata. Yang penting yakin! Itu yang saya selalu katakan dalam diri,” ucap Nana di hujung temuramah.

Remaja 14 tahun ini tetap bersemangat dalam mengejar impiannya, tidak ada istilah ‘terlalu cepat’ atau ‘terlalu awal’ baginya melainkan usaha yang tidak putus-putus ke arah itu.