Semangat dan keyakinan bekalan jadi usahawan tani berjaya

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar Oleh Muiz Matdani

Sudah menjadi harapan sebuah negara memiliki rakyat yang rajin dan rela ‘bakarih’ dan ‘bajarih’ tanpa berputus asa sehingga ‘balurih’ dalam menjana perekonomian diri, keluarga dan juga negara.

Sehubungan itu, peranan rakyat khususnya golongan usahawan juga mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi tempatan serta menjana peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Bak kata pepatah Melayu ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, itulah pegangan yang sentiasa tersemat dalam hati Awang Mohamad Jasni bin Haji Imran, 45, sebagai usahawan pertanian berasaskan jenis sayur-sayuran daun dan buah di bawah Syarikat Spicecries Agrofarm yang bertapak di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limpaki, Kampung Mulaut.

Bidang pertanian bukan perkara baharu

Dalam meniti bidang pertanian ini bukanlah sesuatu perkara yang baharu bagi Awang Mohamad Jasni kerana beliau sudah mula berjinak-jinak dalam dunia bercucuk tanam ini kira-kira 10 tahun lalu di kampung halamannya sewaktu bersama bapa beliau yang juga meminati bidang yang sama.

Kini beliau sedang giat menanam beberapa jenis sayur-sayuran antaranya kacang panjang, kacang bendi dan lada bara di atas tanah seluas dua hektar yang disediakan oleh Jabatan Pertanian sejak bulan Ogos 2020 lalu.

Dari semasa ke semasa, semangat juang pengusaha ini dilihat amat berkobar-kobar dalam diri dan jiwanya lebih-lebih lagi rasa kesyukuran yang sukar diungkapkan apabila menjadi penerima bantuan menerusi permohonan beliau dalam Program Usahawan Bakarih di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) sekitar pertengahan tahun 2019.

Beberapa jenis sayur-sayuran antaranya kacang panjang, kacang bendi dan lada bara ditanam di atas tanah seluas dua hektar yang disediakan oleh Jabatan Pertanian sejak bulan Ogos 2020.
Awang Mohamad Jasni menunjukkan sayur-sayuran yang ditanam di kebunnya di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limpaki, Kampung Mulaut.

“Alhamdulillah, dengan adanya bantuan SPK Yayasan seperti mesin pemotong rumput dan pengepam air serta keperluan baja-baja tanaman, ia sememangnya memberi kemudahan kepada saya untuk lebih memperkasakan lagi bidang bercucuk tanam ini, meskipun pada ketika awal penerimaan bantuan itu saya masih menjalankan aktiviti pertanian di tapak tanah persendirian di Kampung Junjungan. Semangat juang itu semakin kental dalam diri dengan adanya rezeki penyediaan tapak tanah seluas dua hektar dari pihak Jabatan Pertanian sehingga sekarang,” ujarnya dengan nada kesyukuran.

Timba ilmu dan pengalaman sebaiknya

Mengimbas kembali detik mula menjalankan perusahaan berkenaan, Awang Mohamad Jasni pernah mengikuti beberapa kursus jangka pendek yang dikendalikan oleh Pusat Latihan Pertanian Sinaut di Daerah Tutong antara tahun 1998 hingga 2005 yang merangkumi ilmu pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang pertanian sehingga menjurus kepada aspek perniagaan meliputi strategi pengurusan dan pemasaran.

Begitu juga, curahan ilmu dan pengetahuan berjaya diperoleh apabila menyertai program menjurus kepada kemahiran dan pengetahuan keusahawanan yang dikendalikan oleh Yayasan bersama rakan strategik LiveWIRE Brunei sekitar bulan November 2019 lalu.

“Alhamdulillah, segala pengalaman yang diperoleh itulah pencetus perkembangan positif yang diraih sehingga ke detik ini. Selagi masih dikurniakan rezeki kesihatan pada diri ini, saya akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk lebih memberanikan diri dalam memajukan bidang pertanian yang diminati sejak dahulu lagi ini dari semasa ke semasa,” ucapnya dengan nada ketulusan.

Sepenuh masa berbekalkan kudrat sendiri

Berkongsi perjalanan rutin harian sebagai seorang usahawan tani, Awang Mohamad Jasni yang berbekalkan kudrat yang dimiliki menjalankan kegiatan pertanian berkenaan dengan sepenuh masa.

Beliau yang kini menetap di Kampung Meragang, kebiasaannya sudah memulakan tugasan harian di ladang ini sekitar jam 7:30 pagi setelah menghantar anak-anak ke sekolah dan isteri ke tempat kerja.

“Saya mengambil masa selama kira-kira tiga jam pada waktu siang mengusahakan kebun sebelum balik untuk mengambil anak-anak dari sekolah dan isteri dari tempat kerja.

“Kadang-kadang saya akan kembali semula untuk meneruskan tugasan di kebun pada waktu petang tertakluk kepada situasi keperluan penjagaan tanaman pada ketika itu. Itulah rutin harian yang saya lalui,” jelasnya.

Awang Mohamad Jasni turut mengongsikan pengalaman beliau semasa membuka tanah pertanian yang dijalankan ketika ini dilakukan secara persendirian dan melakukan proses pembuatan batas-batas tanah secara manual menggunakan cangkul yang memerlukan jangka masa seminggu. Sekitar bulan Januari 2021 diteruskan dengan sesi semaian dengan proses-proses tertentu sehingga sekarang.

Kini beliau sudah berjaya menyediakan pembahagian empat blok tanah yang mana setiap satunya memiliki 10 batas. Kemudian dilakukan pula proses semaian benih, penyiraman, taburan baja-baja organik sehinggalah kepada sesi memetik hasil tanaman sebelum dilakukan proses pembungkusan dan timbangan serta penghantaran ke kedai-kedai runcit dan pasar-pasar berdekatan. Hasil dari penat lelah dan semangat beliau yang kental, pengusaha ini berjaya memperoleh anggaran $500 dalam sebulan hasil jualan daripada tanaman lada bara dan kacang panjang sekitar bulan Mac 2020 lalu.

Cabaran tidak asing bagi pengusaha

Dalam meniti bidang pertanian, cabaran itu memang tidak asing lagi bagi setiap pengusaha. Salah satu daripadanya adalah komitmen masa. Namun untuk mengatasi cabaran tersebut, Awang Mohamad Jasni mengatakan pengusaha sentiasa perlu fokus dalam apa sahaja yang ingin dilakukan dan tidak berubah fikiran dalam membuat keputusan.

“Apabila berada di ladang ini, apa yang saya rasai adalah ketenangan dengan panorama alam semula jadi yang indah. Cabaran itu pasti ada namun berbekalkan keyakinan diri dengan berserah kepada Allah SWT segala-galanya akan dipermudahkan.

“Rezeki itu semua di tanganNya. Selagi kita berusaha bersungguh-sungguh, pasti kepuasan itu akan dapat dikecapi lebih-lebih lagi apabila menyaksikan hasil pengeluaran di depan mata,” ujarnya dengan penuh ketulusan.

Berbicara mengenai perancangan masa depan dan harapan, Awang Mohamad Jasni berhasrat untuk menghasilkan 100 batas yang akan menempatkan 1,000 benih tanaman sebagai fasa pertama dalam tempoh masa setahun ini. Kemudian ia akan dilanjutkan lagi ke fasa-fasa seterusnya di tanah seluas dua hektar berkenaan.

Di samping itu, Awang Mohamad Jasni juga menyimpan impian untuk membuka kiosk bagi menempatkan jualan hasil pertanian berkonsepkan ‘eco-friendly’ suatu hari nanti.

Beliau juga berhasrat untuk mengambil pekerja dalam sama-sama membantu beliau mengungkayahkan kegiatan penanaman di samping membantu anak-anak tempatan menimba pengalaman dan meningkatkan sumber pendapatan mereka.

“Jangan takut untuk mencuba. Sekali gagal bukan bererti kita akan gagal selamanya. Menimba ilmu sebanyak mungkin dan carilah mentor untuk mempertingkat lagi keyakinan diri di samping sentiasa berserah kepada Allah SWT apabila kita menerokai apa sahaja bidang yang ingin diceburi.

“Bidang pertanian ini sebenarnya bukanlah rumit seperti yang dibayangkan oleh sesetengah orang. Namun perlu adanya kecintaan dalam bidang berkenaan, di samping sentiasa ingin bangkit memajukan diri dalam semua aspek kemahiran dan juga ilmu pengetahuan menerusi kursus-kursus berkaitan yang ditawarkan di negara ini,” ujarnya lagi.