BEIJING, 10 DIS – Demokrasi merupakan nilai kemanusiaan yang bukan menjadi hak eksklusif sesebuah negara sebaliknya ia adalah hak yang berhak dimiliki setiap manusia, kata Menteri Luar China, Wang Yi.
Beliau berkata kayu pengukur demokrasi di sesebuah negara patut dilihat berdasarkan apakah rakyat di negara berkenaan diutamakan atau sebaliknya.
“Parti Komunis China (PKC) sudah mendapatkan acuan baharu demokrasi yang selaras dengan keadaan semasa China, iaitu demokrasi rakyat sepanjang proses yang diperkenalkan Presiden Xi Jinping.
“Kami (China) sangat yakin terhadap demokrasi sendiri, di samping menghormati demokrasi negara lain.
“China bersedia berinteraksi secara adil dan mempelajari pencapaian pembangunan tamadun manusia sementara menyediakan rujukan yang berguna kepada negara lain,” katanya semasa berucap pada Forum Demokrasi Bali ke-14 menerusi video kelmarin.
Pada masa sama, Wang menegaskan bahawa semangat demokrasi perlu diperkasa di samping mendorong demokrasi hubungan antarabangsa.
Sehubungan itu katanya, kedaulatan negara perlu dihormati, manakala tata tertib asas hubungan antarabangsa pula harus dipertahankan.
Selain itu, Wang berkata bahawa rundingan asal perlu diteruskan sambil mempromosikan konsep demokrasi yang bercirikan rantau Asia. – Bernama