Oleh Nurdiyanah R.
DEMI sebuah negara, mereka sanggup berkorban masa dan tenaga. Demi agama, mereka terus bersatu. Demi kesejahteraan bangsa, mereka tetap bangkit berjuang. Merekalah wira dan pejuang negara.
Ibarat menggenggam ‘nyawa’ negara, itulah yang dapat digambarkan betapa besarnya tanggungjawab insan-insan yang dikenali sebagai seorang anggota tentera dalam memikul amanah yang dimeterai.
Setiap 31 Mei merupakan satu detik teristimewa untuk memperingati segala jasa dan bakti mereka itu yang mana Negara Brunei Darussalam mengadakan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada setiap tahun.
Syukur dipanjatkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, kini genaplah 57 tahun Sambutan Hari Ulang tahun ABDB.
Pastinya negara memerlukan pasukan tentera yang memiliki keperibadian berkualiti bukan sahaja dari segi fizikal bahkan juga mental demi mengorak langkah proaktif untuk mencetus keamanan, kedamaian dan juga keselamatan sejagat. Itulah harapan terbesar negara.

Tanpa mereka, sudah tentu sesebuah negara sentiasa berada dalam keadaan tidak selamat seperti telur di hujung tanduk dan terancam daripada sebarang ancaman sama ada datangnya dari dalam negara itu sendiri mahu pun luar negara.
Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB pada Upacara Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-56 yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Muara, pada tahun lalu, Baginda menekankan perlunya bagi seluruh warga ABDB untuk memperkukuhkan benteng dalaman mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak diingini sehingga mampu memainkan tanggungjawab untuk memelihara keamanan dan kedaulatan negara, memikul tanggungjawab yang berat dan mencabar terutama dalam suasana persekitaran dunia tanpa sempadan.
“Benteng dalaman itu adalah termasuk ketahanan rohani dan agama di mana kefahaman agama yang sempurna tidak syak lagi mampu untuk menangkis segala kefahaman salah yang menjurus kepada ekstremisme. Oleh itu di sinilah pentingnya nilai-nilai Melayu Islam Beraja, berjiwa kehidupan,” titah Baginda.
Dari tahun ke tahun, masa silih berganti, sejak penubuhan ABDB pada tahun 1961 pelbagai usaha dan cabaran telah diterokai oleh mereka dalam memperkasa penghayatan nilai-nilai teras ABDB, iaitu ‘Takwa, Setia, Berani dan Profesional’ yang sememangnya merupakan tonggak terpenting dalam menjana, memangkin dan menerajui kemakmuran negara kini dan selamanya.
Di samping berperanan dalam menjalinkan pelbagai ikatan kerjasama dengan negara-negara serantau dan antarabangsa terutamanya dalam mengendalikan operasi keamanan dan bantuan kemanusiaan.
Menanai kemaslahatan masyarakat
Warga ABDB selaku benteng pertahanan bumi Negara Brunei Darussalam, turut memegang peranan yang besar dalam menjaga kemakmuran dan keamanan serta kesejahteraan kehidupan rakyat dan penduduk serta persekitaran di negara ini sentiasa terjamin keselamatannya.
Salah satunya melalui perlaksanaan Projek Titian Amal seperti pembinaan rumah baharu bagi mereka yang terpilih dalam kalangan masyarakat di negara ini yang memerlukan bantuan. Adapun projek berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan setiap tahun.
Ia merupakan salah satu usaha kerjasama antara ABDB dengan pihak agensi-agensi kerajaan dan persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat-syarikat swasta dalam membantu golongan atau keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan-bantuan demi meringankan beban kehidupan mereka.



Selain itu, ABDB juga mengendalikan kerja-kerja pembersihan di tanah perkuburan orang-orang Islam dan masjid-masjid secara bergotong royong.
Aktiviti tahunan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti-aktiviti keagamaan dan kebajikan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi pembangunan kerohanian anggota ABDB, di samping mengeratkan silaturahim serta memupuk keinginan untuk berbakti dan menyumbang balik kepada masyarakat di negara ini.
Dalam pada itu, warga ABDB pula sentiasa bergerak aktif dan ringan tangan dalam membantu masyarakat di negara yang mengalami musibah bencana alam seperti banjir kilat yang menjejaskan beberapa kawasan pendalaman iaitu dengan melaksanakan bantuan pemindahan mangsa banjir yang terkandas dan barangan ke tempat yang selamat.
Demi sebuah misi kedamaian
Perjuangan ABDB bukan hanya tertumpu kepada hal ehwal kemaslahatan dalam negara, bahkan kemampuan mereka juga terserlah menerusi operasi-operasi pengamanan serantau dan antarabangsa.
Dengan menyertai misi pemantauan dan pengamanan Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) Negara Brunei Darussalam di Mindanao, Republik Filipina yang mana sebahagian anggota ABDB bersama wakil Pasukan Polis Diraja Brunei terus memainkan peranan bersama rakan-rakan serantau lain untuk menekankan lagi komitmen dalam melindungi gencatan senjata di kawasan tersebut.
Selain itu, penghormatan tinggi serta tanggungjawab yang amat besar turut dipikul oleh beberapa orang anggota ABDB dalam mengikuti misi pengamanan ke Lubnan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL).
Penyertaan ABDB dalam misi tersebut merupakan antara sokongan dan kerjasama negara yang dihulurkan dalam sama-sama meningkatkan keselamatan bersama dalam ASEAN dan antarabangsa.
Pemantapan ilmu ketenteraan
Sebagai matlamat untuk memantapkan lagi ilmu ketenteraan meliputi teori dan praktikal, ABDB turut bersifat proaktif dalam menjalinkan pelbagai kerjasama dengan rakan-rakan luar negara.
Latihan tahunan di antara ABDB dan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) iaitu Latihan Kerjasama Kesiapsiagaan di Perairan (CARAT) telah menyediakan platform untuk membangunkan dan mengembangkan lagi kerjasama ketenteraan kedua-dua belah pihak. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membina hubungan maritim dan keupayaan bidang ketenteraan mereka.
Dalam pada itu, CARAT juga mampu memberikan peluang bagi para pakar daripada kedua-dua buah angkatan tentera untuk berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk sekuriti pelabuhan, udara, undang-undang ketenteraan, perubatan ketenteraan, perhubungan awam serta latihan laut yang ekstensif.



Selain itu, ABDB turut menganjurkan Simposium Peperangan Hutan Serantau dengan kerjasama British Forces Brunei (BFB). Adapun tujuan simposium itu diadakan adalah untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat kecemerlangan bagi peperangan hutan.
Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama sekolah-sekolah peperangan hutan dan pakar-pakar di antara 11 negara yang terlibat termasuk dalam perkongsian maklumat dan amalan-amalan terbaik dari segi pertukaran jurulatih dan menghasilkan sebuah program pemerhati pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Institut Latihan ABDB dan BFB turut menganjurkan acara kemuncaknya Mobile Demonstration yang telah menumpukan kepada perlaksanaan operasi serangan di pinggir hutan. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan praktikal pada peringkat taktikal dalam menangani pelbagai ancaman dalam operasi hutan.
Besarnya sebuah pengorbanan
Oleh yang demikian, dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan mempertahankan negara, ada di kalangan anggota tentera yang terkorban semasa menjalankan tugas.
Bagi mengenang jasa-jasa mereka, sama-samalah kita berdoa semoga Allah S.W.T menerima segala pengorbanan yang dicurahkan serta tergolong di kalangan insan yang beroleh keampunan dan rahmat Allah S.W.T.
Manakala bagi ahli keluarga yang mereka tinggalkan, kita doakan agar mereka sentiasa diberikan ketabahan dan kekuatan oleh Allah S.W.T dalam mengharungi kehidupan ini.
Ingatlah bahawa orang yang gugur di jalan Allah akan mendapat keampunan-Nya. Sebagaimana tafsir daripada firman Allah S.W.T dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 157.
“Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah atau kamu mati biasa semasa mengerjakan kebajikan umum, sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik bagi kamu dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan meliputi segala jenis kesenangan hidup.”
Oleh itu, dengan segala pengorbanan dan kesetiaan yang mereka curahkan pada agama, bangsa dan negara sepanjang 57 tahun ini, ia diharap akan dapat menanamkan semangat kenegaraan dan perjuangan yang tinggi dalam diri kita dan juga para generasi akan datang.
Janganlah kita hanya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada anggota angkatan tentera sahaja.
Kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan keharmonian dan kedaulatan serta mewujudkan sebuah negara yang sejahtera, memiliki bangsa yang berkeperibadian tinggi serta pegangan agama yang berasaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Selamat menyambut Hari Ulang Tahun ABDB yang ke-57 tahun!