KUALA LUMPUR, 25 OKT – Semangat jaguh pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi tidak pernah luntur meskipun menyedari status penganjuran kejohanan olahraga dalaman dan Terbuka Malaysia masih samar susulan penularan kes COVID-19 di negara ini.
Malah, atlet berusia 21 tahun itu mengakui latihan yang dijalaninya juga tidak terjejas meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Lembah Klang, menyebabkan beliau dan atlet olahraga negara terpaksa menjalani latihan secara kuarantin di Bukit Jalil.
Muhammad Haiqal berkata fokus kini hanya diberikan kepada modul latihan yang dirancang Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller dalam usahanya untuk memperbaiki catatan masa ketika sesi latihan.
“Andai kata tiada kejohanan dianjurkan tahun ini, bagi saya tiada masalah, saya cuma fokus dalam latihan, tapi dalam latihan saya boleh anggap macam pertandingan untuk mengatasi catatan masa yang jurulatih berikan,” katanya kepada Sukan Plus, Bernama TV. – Bernama