Semangat jitu perlu harungi cabaran dunia pertanian

Oleh Sim Y. H.

Bidang pertanian tidak dapat dinafikan merupakan bidang perusahaan yang amat penting dalam memastikan kelangsungan sekuriti makanan negara tetapi pada masa yang sama, ia juga merupakan bidang perusahaan yang amat mencabar serta memerlukan semangat dan ketabahan seorang pengusaha untuk sedia memberikan komitmen serta dedikasi yang tinggi untuk meraih kejayaan.

Bidang pertanian bukanlah satu bidang perusahaan yang mudah untuk diterokai tetapi jika kita mempunyai keinginan, daya tahan dan semangat untuk berjaya, ia mampu memberikan kepuasan yang tinggi.

Pertanian khususnya mengusahakan ladang berdepan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi seperti keadaan cuaca, serangga perosak, penyakit tanaman dan kesukaran untuk mendapatkan bekalan atau peralatan, jelas pengusaha ladang, Perusahaan Zaias, Haji Asmali Haji Mohamad dalam temu bual bersama Media Permata di ladangnya di Kawasan Kemajuan Pertanian Batumpu, Kampung Masin, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan mula mengendalikan ladangnya pada 1997 dengan menggunakan teknik penanaman sayur-sayuran konvensional dan pada masa yang sama, turut meneroka penanaman hidroponik pada 1999 tetapi hasil tanaman kurang mendapat sambutan daripada para pembeli.

Dari sana, beliau bergerak ke arah penanaman dan penghasilan tauge dan mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada pembeli namun disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan kacang hijau dan saingan yang bertambah daripada pengusaha lain, beliau menukar haluan kepada usaha mengongsi ilmu pengetahuan pertanian dengan mengendalikan kelas.

Haji Asmali yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pertanian bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan mereka yang berminat untuk menceburi bidang pertanian termasuk golongan pengusaha muda.

Penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah fertigasi dan konvensional di ladangnya di mana faktor cuaca khususnya sumber air terus menjadi cabaran utama bagi Haji Asmali.

Haji Asmali menerangkan bahawa kira-kira empat tahun yang lalu, beliau belajar mengenai kaedah penanaman fertigasi bagi ladangnya serta menggunakan kaedah penanaman hidroponik dan teknik penanaman konvensional di atas ladang seluas dua hektar di mana pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran diusahakan termasuk sawi hijau, sawi putih dan kacang panjang yang dibekalkannya secara kepada sebuah perusahaan katering tempatan.

Selain membekalkan sayur-sayuran kepada syarikat katering, beliau turut membekalkan sayur-sayuran ke sebuah pasar raya daripada ladangnya yang menjana pengeluaran menggalakkan seperti kacang panjang sebanyak kira-kira seribu kilogram sebulan, sawi sebanyak 800 hingga 900 kilogram sebulan dan bendir dalam 200 kilogram sebulan.

Beliau juga melaksanakan penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah hidroponik khususnya bagi jenis sayur-sayuran bernilai tinggi di pasaran dan sayur-sayuran yang dihasilkan oleh ladangnya dijual di pasar raya tempatan.

Haji Asmali menerangkan bahawa pengeluaran sayur-sayuran dari ladangnya bergantung pada beberapa faktor termasuk cuaca yang mana cuaca kering bulan lalu mengakibatkan kurangnya sumber air sekali gus mengurangkan keluaran ladangnya.

Di samping itu juga, bekalan peralatan ladang yang perlu diimport juga memberikan kesan kepada pengeluaran dan operasi ladang di mana jika peralatan tidak dapat diperoleh mengikut jadual atau tepat pada masa ia diperlukan, ia boleh sahaja melambatkan serta menjejaskan operasi ladang khususnya bagi tanaman hidroponik.

Industri pertanian khususnya tanaman sayur-sayuran, jelas Haji Asmali masih berhadapan dengan kekurangan jumlah pengusaha muda sebagai barisan pelapis yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan industri berkenaan.

Beliau akui bahawa bidang perusahaan ladang amat mencabar dan memerlukan usaha yang keras daripada pengusaha tetapi baginya pengusaha muda harus merebut peluang untuk menerokai bidang berkenaan.

Sebagai seorang pengusaha ladang yang berpengalaman, Haji Asmali menyatakan bahawa beliau bersedia untuk mengongsi ilmu pengetahuan dan pengalamannya dengan para pengusaha ladang baharu.

Ia dapat disaksikan menerusi kelas-kelas yang dianjurkannya di mana ia menampilkan tenaga pengajar yang berpengalaman dari luar negara untuk memberikan tunjuk ajar ilmu pertanian kepada yang berminat.

Di samping itu juga, Haji Asmali turut membantu golongan yang kurang bernasib baik dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat, untuk memperkenalkan penanaman sayur-sayuran menggunakan sistem hidroponik bagi memberikan peluang kepada mereka untuk menceburi bidang pertanian dan sebagai kaedah untuk menambah pendapatan mereka.

Menurutnya semua ini, adalah dengan hasrat untuk mengembangkan dan membangunkan lagi industri pertanian negara di mana jika lebih ramai yang menceburi bidang berkenaan, ia setentunya akan membantu negara untuk mencapai matlamatnya ke arah sekuriti makanan yang terjamin.