LIBREVILLE, 7 Feb – Cameroon telah meraikan kemenangan bermakna mereka di Piala Negara-Negara Afrika yang telah menyaksikan jurulatih Hugo Broos berharap ia mungkin memberikan laluan ke arah masa depan yang cerah bagi pasukannya.
Pasukan Cameroon menunjukkan watak yang menakjubkan untuk bangkit dari belakang dan menewaskan Mesir 2-1 dalam pertembungan final menarik di Stade de I’Amitie di Libreville dengan Nicolas Nkoulou dan Vincent Aboubakar menjaringkan gol yang mencetuskan sambutan liar.
Ia adalah kali pertama sebuah pasukan bangkit dari belakang untuk menang dalam final sejak 1994 dan ia merupakan kejuaraan benua pertama bagi Cameroon sejak 2002, kejuaraan kelima secara keseluruhan.
Kejayaan itu, yang disaksikan di ibu negara Gabon yang sebahagian besarnya terdiri daripada warga Cameroon, melengkapkan perjalanan hebat pasukan yang tidak begitu diambil perhatian di awal kejohanan.
Lapan pemain, yang jelasnya pemain pertahanan Liverpool Joel Matip dan penyerang Schalke Eric Choupo-Moting, enggan menerima panggilan pasukan kebangsaan, menyebabkan Broos mengendalikan pasukan muda dan kurang berpengalaman.
Pasukan tersebut telah menyingkirkan pasukan tuan rumah, Gabon, pasukan pilihan Senegal dan Ghana dalam laluan menuju ke final, di mana mereka berjaya meraih kemenangan pertama ke atas Mesir dalam tiga percubaan final Piala Negara-Negara Afrika.
“Saya telah membawa masuk beberapa pemain muda dan mula bekerja. Kami melakukan tugas yang baik dan kini kami mempunyai sebuah pasukan,” kata Broos selepas perlawanan final.
Pengurusan pemainnya sangat hebat dan pada final itu telah menyaksikan dua pemain gantian telah menjaringkan gol penyamaan dan juga gol kemenangan buat Cameroon. – AFP