Semangat juang sambut Hari Kebangsaan di perantauan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Di saat rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam meraikan Hari Kebangsaan dengan semangat padu dan waja, terdapat juga segelintir rakyat Brunei yang tidak berpeluang dalam sama-sama meraikan hari yang cukup bermakna bagi Negara Brunei Darussalam.

Ini adalah kerana sebilangan mereka kini berada di perantauan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, tambahan pula musim wabak pandemik yang masih melanda dunia ketika ini menyebabkan mereka sukar untuk pulang.

Bagaimanapun Media Permata berpeluang menghubungi salah seorang anak tempatan yang ketika ini bertugas sebagai cef di Aban Deep Driller 5, Singapura yang mana beliau sudah lebih tiga bulan berada di sana dan hanya akan pulang pada tahun hadapan.

Dayang Ana Amalina binti Haji Jasmi ketika ditemu bual melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat menyaksikan suasana sambutan Hari Kebangsaan ke-37 tahun ini.

Meski tidak dapat meraikan sambutan berkenaan di negara, namun bagi Dayang Ana Amalina, beliau masih dapat merasakan semangat patriotik di dalam dirinya untuk terus meraikan Hari Kebangsaan walau di mana sahaja berada.

“Di kapal ini hanya ada dua warga tempatan sahaja iaitu saya sendiri dan seorang lagi rakan setugas selaku Campboss, Shamsul anak Steward Macmilan, sementara selebihnya berasal dari Filipina, Malaysia, Indonesia, India dan Belanda.”

Jelasnya, mereka semua tetap bersatu hati dan saling menghormati di dalam merayakan hari kebangsaan negara masing-masing yang mana rasa seumpama ini dapat memeriahkan lagi suasana terutama sekali rasa saat berjauhan daripada keluarga dan sanak saudara.

Menyentuh mengenai peranan belia dalam mengorak langkah untuk mencapai wawasan negara 2035, beliau berpendapat belia masa depan adalah belia yang holistik, bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, sahsiah dan kerohanian tetapi juga belia yang berkemahiran, inovatif dan kreatif sejajar dengan kepesatan kemajuan pelbagai bidang.

Dayang Ana Amalina dan Awang Shamsul bergambar bersama bendera kebangsaan di Aban Deep Driller 5, Singapura. – Gambar serahan Ana Amalina