Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Semangat si kudung berentap di Komanwel

    DAR ES SALAAM – Yohana Assa Mwila, seorang lelaki yang kehilangan kaki kanannya pada tahun 1988 akibat gigitan ular yang sangat berbisa, berkata tiada yang dapat menghalangnya daripada meletakkan Tanzania di peta global bagi sukan angkat berat para.

    Mwila, 38, ialah atlet angkat berat para yang telah layak mewakili Tanzania dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 di England yang akan menyaksikan kira-kira 4,500 atlet dari 72 negara dan wilayah bersaing dalam 19 sukan dan lapan sukan para di 15 tempat pertandingan dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

    Angkat berat para adalah salah satu sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Komanwel 2022, peringkat keenam angkat berat para di Sukan Komanwel sejak dimasukkan pada 2002.

    “Kaki kanan saya dipotong selepas dipatuk ular yang sangat berbisa.

    “Saya masih ingat saya dipatuk ular itu pada hari Jumaat dan pada hari Isnin kaki saya mula reput dari lutut ke bawah apabila doktor mencadangkan untuk memotong kaki itu,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

    Yohana Assa Mwila (depan), berlatih untuk Sukan Komanwel 2022 di Dar es Salaam, Tanzania. – Xinhua
    Yohana Assa Mwila, kehilangan kaki kanannya pada tahun 1988 akibat gigitan ular yang sangat berbisa, berkata tiada apa yang akan menghalangnya daripada meletakkan Tanzania di peta global bagi sukan angkat berat para. – Xinhua

    Dia berkata amputasi kakinya itu bukanlah penamat dalam hidupnya apabila pada Mac 2019 dia memutuskan untuk berlatih dalam sukan angkat berat para berikutan nasihat jurulatihnya, Nemes Albert Chiwalala, 55 tahun.

    “Sebelum jurulatih meyakinkan saya untuk berlatih dalam acara angkat berat para, saya melakukan lontar peluru, acara trek dan padang di mana atlet cuba membaling bola berat sejauh yang mereka boleh,” kata atlet para yang dijangka bertolak ke Birmingham pada hari Sabtu mendatang.

    Mwila, penjual kasut terpakai di pasar Kariakoo yang sibuk dan penunggang basikal roda tiga untuk disewa, berkata dia berlatih di Pusat Kecergasan Ada Estates di Dar es Salaam, ibu kota komersial Tanzania, empat kali seminggu dengan setiap sesi latihan berlangsung selama dua jam.

    Di samping itu, Mwila mengucapkan terima kasih kepada kedutaan China atas sumbangan komputer dan komputer riba baru-baru ini kepada Jawatankuasa Paralimpik Tanzania, dengan berkata sumbangan itu datang pada masa yang tepat.

    “Komputer riba dan komputer akan membantu kami mengakses Internet untuk berkomunikasi dengan badan sukan di seluruh dunia. Dulu kami menunggu bos menggunakan komputer riba peribadinya untuk mengakses Internet.

    “Terima kasih kepada kedutaan China di Tanzania atas sumbangan itu,” kata Mwila.

    Beliau menambah ia juga akan menjadi mudah untuk mengakses laman sesawang Jawatankuasa Paralimpik Tanzania, bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam Sukan All African di Ghana pada 2023 dan Sukan Paralimpik 2024 yang akan diadakan di Perancis.

    Chiwalala, jurulatih Mwila, berkata dia memulakan latihan angkat berat para pada 2000, sambil menambah dua atlet para yang dilatihnya layak dan menyertai Sukan Komanwel 2002 di Manchester, England.

    “Saya optimis bahawa Mwila akan melakukan keajaiban dalam Sukan Komanwel akan datang,” kata Chiwalala, yang juga terlibat dalam perniagaan dan pertanian. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...