Semarak bahang Piala Dunia

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Dalam kehangatan kejohanan Piala Dunia di Rusia kini peminat bola sepak terus bersemangat dan turut merasakan bahangnya apatah lagi kejohanan itu kini bakal memasuki peringkat keduanya sedikit masa lagi.

Justeru itu, kelab penyokong di negara ini turut mengambil peluang untuk menyemarakkan semangat kesukanan ini dengan mengadakan perlawanan persahabatan yang pastinya akan mengeratkan silaturahim di kalangan kelab penyokong terlibat.

Semalam berlangsung satu perlawanan persahabatan di antara Pasukan Kelab Penyokong Bola Sepak Manchester United dan Kelab Penyokong Bola Sepak Liverpool FC.

Pasukan Kelab Penyokong Manchester United dan Kelab Penyokong Liverpool FC bergambar ramai selepas tamat perlawanan persahabatan kelmarin.

Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas itu berkesudahan dengan kemenangan yang berpihak kepada Pasukan Kelab Penyokong Manchester United dengan jaringan 6-4 ke atas Pasukan Kelab Penyokong Liverpool FC.

Menurut kenyataan penganjur, perlawanan itu bukan sahaja sebagai medium mengeratkan silaturahim antara kedua-dua pasukan, ia turut menjadi medium menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan gaya hidup sihat terutama di musim Hari Raya Aidilfitri 1439 Hijrah ini.