Semarak dikir Maulud

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang akan diraikan dua hari lagi telah dimeriahkan dengan majlis-majlis dikir secara maya malam ini oleh beberapa pihak berkepentingan.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya malam ini telah mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad bagi Tahun 1443 Hijrah / 2021 Masihi yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta jemputan-jemputan khas.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti.

Ia kemudiannya diteruskan dengan Dikir Assalamualaika, Dikir Bisyahrin, Dikir Alhamdulillah dan Dikir Marhaban, seterusnya diikuti dengan bacaan Doa Dikir, Doa Memohon Terhindar daripada Wabak COVID-19 serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, turut mengadakan majlis serupa ialah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya yang dihadiri Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew serta warga JPM semasa menyertai Majlis Dikir Maulud secara maya. – Gambar serahan JPM
Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bersama warga MTIC dan jabatan serta agensi di bawahnya semasa mengadakan Majlis Dikir Maulud. – Gambar serahan MTIC