Semarak Maulidur Rasul bersama mualaf Tutong

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf) dengan kerjasama Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong telah mengadakan Majlis Dikir sempena Maulud Nabi Muhammad SAW Bersama Mualaf tahun 1443H/2021M bagi Daerah Tutong secara maya melalui aplikasi Zoom.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong selaku penasihat Badan Kebajikan Saudara-saudara Baharu (BASKIM), Kampung Kiudang. Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar selaku ketua rombongan majlis.

Majlis diikuti dengan tazkirah bertajuk ‘Selawat Pengubat Rindu Kepada Rasulullah SAW’ yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama di PDI, Hajah Nur Hasyimah binti Haji Mohd Yassin.

Tazkirah antara lain menyentuh tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW dengan membawa syariat Islam yang telah memberi sinar dan hidayah kepada sekalian manusia.

Kemudian, majlis disusuli dengan laungan Dikir Syarafil Anam dan ditutup dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara.

Selain untuk memeriahkan sambutan dan memperingati Maulud Nabi Muhammad SAW, majlis berkenaan juga bertujuan sebagai salah satu sarana dakwah dan metode untuk mengajak para mualaf bagi sama-sama menghayati dan melahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan memperingati kelahiran Baginda setiap 12 Rabiulawal.

Turut hadir semasa majlis itu ialah Pemangku Ketua Kampung Kiudang dan Padnunok, Haji Saifulbahri bin Haji Umarali dan Yang Di-Pertua Persatuan Saudara-saudara Baharu Daerah Tutong (PESATU), Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat. Seramai 150 orang mualaf dari Daerah Tutong, peserta kelas-kelas Bimbingan Mualaf, Belia As-Syahadah serta warga PDI menyertai majlis tersebut.

Yang Berhormat Haji Umarali hadir selaku tetamu kehormat pada majlis dikir secara dalam talian berkenaan.