Semarak patriotisme

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Lebih 2,000 peserta berkumpul di ibu negara awal pagi tadi untuk sama-sama menunjukkan taat setia, semangat patriotisme yang tinggi serta hormat kepada raja dan negara dengan mengambil bahagian dalam Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan ke-37 yang penuh gilang-gemilang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat menghadiri upacara berkenaan yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dengan tema sambutan ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan serta kerabat diraja menerima Hormat Diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Baginda Sultan kemudian dijunjung memeriksa pasukan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sebelum berangkat semula ke pentas diraja.

Baginda Sultan sekali lagi menerima hormat diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan, sebelum pasukan perbarisan kawalan kehormatan keluar dari Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian menyaksikan upacara perbarisan lalu dan perhimpunan agung di hadapan pentas diraja yang melibatkan kira-kira 2,600 orang peserta iaitu sebanyak 121 buah pasukan yang didahului oleh Pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran besar diikuti oleh pasukan pembaca ikrar, pasukan pembawa bendera-bendera Negara Brunei Darussalam berukuran sederhana dan bendera logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, ABDB, PPDB, pasukan berpakaian seragam, kumpulan warga emas, kumpulan orang kelainan upaya, sektor awam dan swasta, pergerakan awam, institusi-institusi pendidikan, perarakan basikal dan pasukan barisan hadapan COVID-19.

Acara diteruskan dengan lafaz ikrar Hari Kebangsaan telah diketuai oleh Konsultan Pakar bedah Kardiotorasik di Pusat Perubatan Gleneagles Jerudong Park (Gleneagles JPMC), Pengiran Dr Muhammad Nadzir bin Pengiran Mohd Juanda yang disusuli dengan tiga kali laungan Allahu Akhbar oleh para peserta dan mereka yang hadir di upacara itu.

Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian berkenan menyaksikan persembahan yang ditampilkan oleh lebih 1,200 orang peserta yang mewakili pelbagai agensi pembangunan negara termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta, persatuan, pelajar, belia dan kanak-kanak.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat ke Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan ke-37. – Gambar oleh Infofoto