Semarak Ramadan dengan majlis tadarus Al-Quran

Oleh Aziz Idris

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Bagi meraih ganjaran pada bulan suci Ramadan, rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya menganjurkan majlis tadarus Al-Quran di Masjid Kampung Keriam, Tutong, hari ini.

Mengetuai rombongan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Acara bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri diikuti dengan bacaan Al-Quran, Tahlil dan Doa Selamat sebelum berbuka puasa bersama-sama dan disusuli dengan solat fardu Maghrib berjemaah.

Acara berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan kementerian untuk mengukuhkan hubungan di antara kementerian, pemimpin akar umbi serta penduduk di Daerah Tutong.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai kanan KHEDN, ahli majlis perundingan mukim dan kampung bersama masyarakat di Kampung Keriam. Rombongan itu akan menganjurkan upacara keagamaan yang sama di Masjid Kampung Sungai Liang pada 16 Mei (Khamis) sebelum berakhir di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lambak Kiri pada 18 Mei ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menyertai majlis tadarus Al-Quran yang diadakan di Masjid Kampung Keriam, Tutong, kelmarin.