Semarak sambutan Maulud

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Bagi sama-sama memperingati dan menyemarakkan Maulud Nabi Muhammad SAW, Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di ruang legar Bangunan Darulifta, JMK.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Turut hadir ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin; Penolong Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof dan pegawai-pegawai serta kakitangan di JMK.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Buhuth, Haji Abdul Azim bin Haji Ahmad seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran JMK, Haji Mohidin bin Haji Mustapha.

Kemudian, acara diteruskan lagi dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Mufti, Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah.

Bagi memeriahkan lagi majlis, laungan Dikir Maulud dipersembahkan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan JMK manakala itu, bagi memohon keberkatan, majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Buhuth, Haji Abdul Azim bin Haji Ahmad.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan ketika menghadiri Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Bangunan Darulifta, JMK.