Semarak semangat perpaduan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menghadiri Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 bertemakan Menjayakan Wawasan Negara, yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan serta kerabat diraja menerima tabik hormat diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Baginda Sultan kemudian dijunjung memeriksa pasukan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).

Baginda sekali lagi menerima hormat diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan, sebelum pasukan perbarisan kawalan kehormatan keluar dari Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyaksikan perhimpunan agung Hari Kebangsaan ke-36 di ibu negara, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan memeriksa perbarisan kehormat pada upacara itu.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan berangkat menghadiri Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para peserta perbarisan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan beramah mesra bersama peserta upacara perbarisan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan beramah mesra bersama para peserta upacara perbarisan.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah serta YAM Pengiran Muda Bahar ketika berkenan menyertai perbarisan lalu.

Antara yang ikut serta dalam upacara perbarisan lalu.

Antara persembahan padang sempena Hari Kebangsaan ke-36.

Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian berkenan menyaksikan upacara perbarisan lalu didahului oleh pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran besar diikuti oleh pasukan pembaca ikrar, pasukan pembawa bendera-bendera Negara Brunei Darussalam berukuran sederhana dan bendera logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, ABDB, PDB, pasukan berpakaian seragam, peserta Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), pasukan orang-orang berkeperluan khas, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, wakil daerah-daerah dan sektor swasta.
Berkenan menyertai perbarisan lalu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah serta Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

Seterusnya, Baginda Sultan serta kerabat diraja berkenan menyaksikan persembahan Alun Genderang berbentuk gabungan pancaragam, gulintangan, hadrah dan gerak cergas oleh seramai 936 orang yang merupakan gabungan Kadet ABDB, Kadet PDB, belia-belia, para pelajar sekolah rendah, pelatih PKBN, benteng bendera dan penari ‘colour guard’.

Persembahan itu menggembelengkan alat muzik tradisional dan moden menampakkan keceriaan berpaksikan mitra usaha segenap generasi dalam menyahut kehendak pembangunan negara, mempertahankan kemerdekaannya dan kedaulatannya seterusnya mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Upacara perbarisan diteruskan dengan perbarisan lalu daripada institusi-institusi pengajian tinggi, maktab-maktab, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan, pertubuhan awam, persatuan warga asing di Negara Brunei Darussalam dan pasukan generasi berwawasan, menjadikan jumlah keseluruhan peserta perbarisan seramai 25,722 orang.

Acara diteruskan dengan lafaz ikrar Hari Kebangsaan disusuli dengan laungan ‘Allahu Akbar’ oleh para peserta dan mereka yang hadir di upacara itu sebanyak tiga kali yang telah diketuai oleh Awang Muhammad Fatin Abdul Rahman bin Kifli.

Acara kemuncak perhimpunan ialah persembahan bertema ‘Menjayakan Wawasan Negara’ yang disertai oleh 7,336 orang peserta mewakili pelbagai sektor dan agensi pembangunan negara termasuk belia mewakili sekolah-sekolah menengah, maktab-maktab dan institusi pengajian tinggi.

Persembahan itu memaparkan usaha-usaha membangun negara dengan menilai aspek pembangunan yang berdaya tahan, membawa generasi muda untuk bersiap siaga mempertahankan negara dan dalam masa yang sama menyahut cabaran dari ledakan teknologi, komunikasi dan Revolusi Industri 4.0

Wawasan Brunei 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang dimanifestasi bagi memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, kehidupan yang berkualiti, dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.