Semarak Syawal dengan majlis khatam

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Ahli jemaah tadarus Al-Quran Masjid Kampung Sungai Besar menyemarakkan lagi kemeriahan Syawal dengan mengadakan majlis khatam Al-Quran di masjid berkenaan, hari ini.

“Majlis kali ini sangat istimewa di mana kita sama-sama melahirkan rasa syukur atas usaha berterusan bagi memakmurkan masjid sekali gus memeriahkan sambutan hari kemenangan umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri,” ujar Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Haji Mohd Solehin bin Pengiran Haji Tajuddin semasa ditemui pada majlis itu.

Selain untuk mengimarahkan masjid, katanya, ia juga peluang untuk merapatkan lagi hubungan sesama jemaah sekali gus sebagai kesempatan menghulur kemaafan.

Beliau turut melahirkan keyakinan, para ahli tadarus dan jemaah yang lain akan terus secara istiqamah mencintai, membaca dan mengikuti ajaran-ajaran dalam Al-Quran.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat lazim bermula Surah Adh-Duha sehingga Surah An-Nas beramai-ramai yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin yang juga membaca takhtim dan Doa Khatam.

Para peserta tadarus bergambar ramai selepas majlis khatam Al-Quran.