Semarakkan lagi suasana majlis ibadah korban

Oleh Sim Y. H., Salawati Haji Yahya, Ak Zaki Kasharan, Yusrin Junaidi & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan tidak terlepas mengambil keberkatan Hari Raya Aidiladha yang telah memasuki hari ketiga, hari ini, dengan mengadakan majlis-majlis ibadah korban.

Antara kementerian-kementerian mengadakan majlis seumpamanya hari ini adalah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.

Majlis itu menyaksikan dua ekor kerbau dikorbankan dan diagih-agihkan kepada seramai 106 orang penerima berhak daripada kalangan warga kementerian berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Majlis ibadah korban dan akikah Kementerian Pertahanan pula menyaksikan enam ekor kerbau dan 12 ekor kambing dikorbankan dan dagingnya diagih-agihkan kepada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), kakitangan awam Kementerian Pertahanan, golongan-golongan asnaf yang tinggal berhampiran dengan kawasan Bolkiah Garison dan anak-anak yatim Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyampaikan daging korban kepada para penerima.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan agihan daging korban kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika mengagihkan pembahagian daging korban kepada salah seorang peserta korban.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi turut hadir ke majlis korban Kementerian Pembangunan. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika mengagihkan daging korban kepada penerima. – Gambar oleh Muiz Matdani
Pesuruhjaya polis, timbalan pesuruhjaya polis, penguasa kanan polis, pengarah jabatan, pegawai-pegawai serta anggota pasukan PDB hadir pada majlis tersebut.
Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin menyampaikan daging korban kepada salah seorang peserta korban.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis korban dan akikah yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Bolkiah Garison itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang menyempurnakan pengagihan daging korban bersama Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, ahli-ahli Eksekutif Pertahanan dan peme-rintah angkatan bersama ABDB.

Acara korban dan akikah yang sama juga telah dilaksanakan di semua perkhemahan dan garison ABDB sejak 10 Zulhijah lalu hingga hari ini dengan jumlah keseluruhan binatang korban adalah 28 ekor kerbau dan 29 ekor kambing.

Sembilan ekor kerbau dan dua ekor kambing daripada 65 peserta pula telah dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di kementerian berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang turut menyampaikan agihan daging-daging korban kepada 90 orang penerima yang daripada golongan asnaf fakir miskin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Bagi majlis ibadah korban Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya pula, empat ekor kerbau telah dikorbankan dan sebahagian da-ging korban berkenaan diagihkan kepada warga kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya serta seramai 70 orang asnaf fakir miskin dari kawasan Berakas dan sekitarnya.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Ruang Legar, Bangunan Kementerian Pembangunan, Lapangan Terbang Lama, Berakas itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Juga hadir bagi sama-sama mengagihkan daging korban ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Marzuke bin Haji Mohsin, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di kementerian pembangunan.

Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian dan jabatan-jabatan di bawahnya serta badan-badan berkanun tidak ketinggalan mengadakan majlis serupa di mana dua ekor kerbau dikorbankan di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Majlis menyaksikan pengagihan daging korban kepada seramai 300 orang penerima yang terdiri daripada asnaf dan fakir miskin dari kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta asnaf dan fakir miskin daripada kawasan sekitar Mukim Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat dan mendahului penyampaian agihan daging korban ialah Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein selaku tetamu kehormat.

Majlis ibadah korban Kementerian Pendidikan pula telah berlangsung di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Kampung Mulaut, Mukim Sengkurong di mana 220 orang menerima agihan daging korban berkenaan, yang terdiri daripada asnaf fakir yang daftar dari mukim berkenaan dan peserta korban.

Sebanyak 10 ekor kerbau daripada 70 orang peserta telah dikorbankan pada majlis berkenaan di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Sembilan ekor kerbau dan seekor sapi dikorbankan untuk ibadah korban sunat dan akikah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak berkuasa.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging korban pada majlis yang berlangsung di kementerian berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Daging korban tersebut diagihkan kepada penerima khas, anak-anak yatim, asnaf fakir miskin dan pegawai serta kakitangan kementerian berkenaan dan jabatan di bawahnya dan pihak berkuasa.

Turut mengadakan majlis seumpamanya, hari ini, adalah Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong di mana dua ekor sapi dan seekor kambing daripada 15 peserta telah dikorbankan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging-daging korban ialah Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Sementara itu, majlis ibadah korban Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat pula menyaksikan dua ekor kerbau dikorbankan, yang turut disertai oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar, pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat sebagai peserta korban.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis itu ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin yang turut menyempurnakan pengagihan daging-daging korban kepada seramai 14 orang penerima terpilih.