Semarakkan perpaduan Perlis-Sabah

TAWAU, 20 Mei – Bersempena lawatan kerja Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Sabah, baginda berharap perpaduan tanpa sempadan antara masyarakat di negeri di bawah bayu itu dan Perlis dapat disemarakkan.

“Hubungan sesama anggota keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat perlu dipelihara agar wujud masyarakat harmoni berbilang agama, kaum, budaya dan adat resam. Hubungan ini harus dikembangkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sebelum berbuka puasa dengan penduduk Kampung Merotai di Masjid Hidayatul Iman semalam.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin yang pertama kali ke kampung itu disambut oleh Komander Rejimen 516 Askar Wataniah, Brig Jeneral Tan Sri Liew Yun Fah dan kira-kira 500 penduduk kampung.

Baginda berharap lawatan ini akan dapat menjadi pengikat tali persahabatan antara dua negeri yang jauh. Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada imam masjid Kampung Merotai, Mohd Nasir Saleh, 47, untuk membeli kelengkapan masjid dan bantuan makanan golongan asnaf. – Bernama