Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Dengan bermulanya tempoh pengibaran bendera sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, Mukim Sengkurong telah mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim selaku Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong ‘B.’
Turut hadir ialah ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal dan Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Arshad @ Haji Sabli.
Majlis yang dikendalikan oleh Kampung Sengkurong ‘B’ dengan kerjasama ahli-ahli Sukarelawan Mukim Sengkurong (SUMUS) itu telah dimulakan dengan perbarisan masuk pembawa bendera ke kawasan dewan yang diketuai oleh Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir yang juga Pemangku Ketua Kampung Sengkurong ‘B.’
Haji Musa kemudian menyerahkan bendera kepada tetamu kehormat yang seterusnya menyerahkannya kepada pegawai penjara untuk dinaikkan sambil diiringi nyanyian lagu kebangsaan oleh penuntut Sekolah Menengah Sayyidina Husain.


Peserta perbarisan terdiri daripada ahli-ahli Pasukan Serunai dan Tambor dari Jabatan Penjara dan diikuti pembawa bendera berukuran besar dan kecil terdiri daripada ahli majlis perundingan mukim (MPM) dan majlis perundingan kampung (MPK) bagi kawasan Zon 5 dan ahli SUMUS serta ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung di bawah Mukim Sengkurong.
Acara diakhiri dengan perarakan kenderaan yang membawa bendera menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal yang disertai oleh ahli-ahli SUMUS.

Turut mengadakan upacara menaikkan bendera negara, hari ini, ialah Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Kampung Panchor Mengkubau menerusi Program Semarak Hari Kebangsaan 2017 yang berlangsung di kawasan lapang laluan utama ke RPN Kampung Panchor Mengkubau.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.
Di majlis itu, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed menyerahkan bendera negara kepada ahli pengakap pembawa bendera untuk upacara menaikkan bendera.
Upacara menaikkan bendera negara itu diteruskan dengan memotong pulut kuning yang memaparkan angka 33 tahun menunjukkan Negara Brunei Darussalam sudah mencapai usia kemerdekaan selama 33 tahun.