Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Sembahyang benteng daripada kemungkaran

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB– Ibadat sembahyang merupakan kubu yang mampu membentengi umat Islam daripada kemungkaran dan bagi seseorang yang terselamat daripada mungkar, ada harapan tertinggi baginya meraih syurga.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu dalam titah sempena Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi tahun 2022 dari Istana Nurul Iman hari ini.

    “Kerana matlamat yang suci inilah, kerajaan Beta telah mengambil sikap tegas menyediakan sistem persekolahan wajib agama kerana tidak mahu walau seorang pun daripada rakyat Muslim tidak sembahyang,” tekan Baginda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, melalui sembahyang juga Allah mengurniakan keamanan, ketenangan, kesihatan dan kebahagiaan yang dapat dikesan melalui firman Allah dalam Surah Al-‘Ankabut yang tafsirannya berbunyi, “Baca serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepada mu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

    “Dan sesungguhnya mengingati Allah terutama dengan melakukan sembahyang itu adalah lebih besar faedah dan kesannya dan Allah maha mengetahui akan apa jua kamu kerjakan.”

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi tahun 2022 dari Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

    Menurut Baginda, ayat itu adalah isyarat untuk kita memahami, ibadat sembahyang adalah segala-galanya yang mampu membersihkan daripada mungkar.

    “Apakah ada lagi selain ini, lebih sempurna? Demikian itulah dengan sembahyang, ia adalah ‘kubu’ untuk membentengi daripada mungkar,” titah Baginda

    Baginda turut melahirkan rasa bahagia jika semua orang Islam menunaikan sembahyang kerana ia adalah tiang agama, jika ia ditinggalkan bererti kita merobohkan agama dan berharap pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan hal ehwal pendidikan, tidak mengabaikan perkara itu kerana ia adalah tugas asasi di antara lain-lain tugas yang ada.

    “Ia adalah amanah tertinggi untuk ditunaikan di mana semua orang tidak boleh lari dari kewajipan ini, para guru, ibu bapa malah kerajaan adalah sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan ibadat ini benar-benar dihayati,” tegas Baginda.

    “Apabila sudah berlaku demikian, Insya Allah berkat dan rahmat akan turun kepada Brunei dan kepada kita semua,” tekan Baginda.

    Terdahulu, Baginda bertitah bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan kejadian luar biasa, yang berlaku ke atas Nabi kita, Sayyidina Muhammad SAW.

    Adapun matlamat utama daripada peristiwa ini ialah untuk menerima sembahyang lima waktu dari Allah, perintah sembahyang disyariatkan secara langsung oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW tanpa sebarang perantaraan, inilah hebat dan istimewanya sembahyang itu.

    Tidak syak lagi, titah Baginda, sembahyang adalah tali penghubung di antara Al Khaliq dan hambanya, maka akan kuatlah hubungan itu dengan melakukan sembahyang.

    Sembahyang diwajibkan itu sebagai ibadat utama dalam kehidupan, sebagai cara untuk menjaga hubungan agar ia terus kekal dan kukuh sehingga ia tidak putus-putus.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...