Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang Berjemaah Meraih Berkat

    Oleh Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan, Normazlina M.D. & Hajah Saemah Kepli

    Gambar Muiz Matdani, Ak Zaki Kasharan, Normazlina M.D. & Hajah Saemah Kipli

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Sempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang akan disambut esok, Majlis Sembahyang Subuh Berjemaah telah diadakan secara serentak di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, hari ini.

    Tumpuan utama majlis berkenaan ialah di Jame‘ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong di mana turut hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Perhubungan Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato PadukaSeri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Juga hadir ialah timbalan menteri, setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan, warga perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi.

    Turut menjadi masjid tumpuan di Daerah Brunei dan Muara ialah Masjid Setia Ali, Pekan Muara di mana hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof.

    Manakala itu, hadir selaku tetamu khas di Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong yang juga merupakan masjid tumpuan di daerah ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz ketika hadir semasa majlis yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.
    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Hal Ehwal Ugama, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Menteri Perhubungan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Mufti Kerajaan ketika sesi bergambar ramai. – Gambar KHEU
    Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad ketika menyampaikan ceramah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu khas pada majlis yang diadakan di Masjid Setia Ali, Pekan Muara.
    Awang Muskarisman Safari ketika menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Sembahyang Berjemaah Meraih Berkat’.
    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti hadir bersembahyang Subuh berjemaah di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.
    Awang Muhammad Yussof ketika menyampaikan ceramah di Masjid Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong.

    Di Daerah Belait, tumpuan majlis ialah Masjid RPN Kampung Pandan di mana turut hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

    Sementara itu, di Daerah Tutong, Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Sengkarai menjadi tumpuan dan hadir selaku tetamu khas ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Masjid tumpuan bagi Daerah Temburong pula ialah Masjid Utama Mohamad Salleh, Pekan Bangar di mana turut hadir selaku tetamu khas ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

    Selain sembahyang Subuh berjemaah, majlis-majlis berkenaan turut diisikan dengan tazkirah bertajuk ‘Sembahyang Berjemaah Meraih Berkat’ yang disampaikan oleh penceramah-penceramah undangan yang menyentuh mengenai kelebihan menunaikan sembahyang berjemaah di masjid.

    Tazkirah antara lain menekankan bahawa sembahyang berjemaah mempunyai banyak kelebihan dan telah disebutkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam sabda Baginda yang bermaksud, sembahyang berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 darjat. (Hadis Riwayat al-Bukhari).

    Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny bersama jemaah lainnya ketika menunaikan sembahyang fardu Subuh berjemaah pada majlis yang diadakan di Masjid RPN Kampung Pandan.
    Dato Paduka Ahmaddin hadir selaku tetamu khas pada majlis yang diadakan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Kahfi beramai-ramai dan disudahi dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Di samping memakmurkan rumah Allah dengan meramaikan kehadiran jemaah untuk mendirikan solat berjemaah, sembahyang Fardu Subuh berjemaah diharapkan dapat menghidupkan sunnah dan menimbulkan rasa persamaan antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah bersama-sama serta akan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kelebihan dan manfaat yang bakal diperolehi daripada menunaikan tuntutan sembahyang berjemaah.

    Dengan bersembahyang berjemaah juga akan dapat memupuk perpaduan, persaudaraan sesama umat Islam di samping membuka peluang untuk berkenal-kenalan antara satu dengan lain.

    Kelebihan sembahyang berjemaah juga dari segi saintifik telah terbukti bahawa sentuhan antara bahu jemaah ketika sembahyang berjemaah mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia dan menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.

    Dengan ini, ia diharap akan dapat melahirkan masyarakat yang murni dan berbudi pekerti yang mulia serta dapat membuang sikap pentingkan diri dan takbur semasa berjemaah kerana umat Islam itu adalah sama di sisi Allah S.W.T.

    Antara yang menghadiri majlis-majlis tersebut terdiri daripada para jemputan khas, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan perkhidmatan awam, anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, warga Jabatan Penjara, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, kumpulan belia masjid dan jemaah masjid.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda