Sembahyang sunat : Boleh diqadha!

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

SIRI 2

Adakah semua sembahyang sunat boleh diqadha?

SEBAGAIMANA disebutkan terdahulu bahawa menqadha sembahyang-sembahyang sunat yang telah ditetapkan waktunya oleh syarak hukumnya sunat, seperti sembahyang sunat Dhuha, Witir, Rawatib dan sembahyang-sembahyang sunat Hari Raya.

Adapun sembahyang-sembahyang sunat yang tidak ditetapkan waktunya seperti sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, sembahyang sunat Hajat dan sembahyang Gerhana, tiadalah terdapat mana-mana nash dari al-Quran mahupun Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang menunjukkan bahawa sembahyang-sembahyang sunat berkenaan boleh diqadha.

Ini sesuai dengan maksud qadha sembahyang itu sendiri yang mana pengertiannya ialah “mengerjakan sembahyang di luar dari waktunya yang telah ditetapkan oleh syarak”. Dengan perkataan lain sembahyang-sembahyang sunat yang tidak ditentukan waktunya seperti sembahyang sunat Hajat dan Gerhana tidaklah termasuk dalam sembahyang-sembahyang yang boleh diqadha.

Dalam perkara ini Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyatakan bahawa sunat menqadha sembahyang-sembahyang sunat yang berwaktu (yang ditetapkan waktunya oleh syarak). Ini kerana sembahyang-sembahyang sunat yang tidak ditentukan masanya itu tidak dapat diqadha kerana waktu untuk mendirikannya tidak terbatas sehingga ianya dapat didirikan (diqadha) di luar dari waktunya.

Disunatkan juga untuk menqadha sembahyang-sembahyang sunat muthlaq seperti sembahyang sunat Tahajjud jika ianya sudah menjadi kebiasaan kepada seseorang dalam kehidupan sehariannya.

Adapun sembahyang-sembahyang sunat yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang seperti sembahyang sunat Gerhana, sembahyang sunat Istisqa’ dan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, tidaklah disyari‘atkan untuk menqadhanya kerana sembahyang-sembahyang sunat tersebut tidak lagi dituntut apabila penyebabnya sudah tiada.

Waktu yang dibolehkan untuk menqadha sembahyang-sembahyang sunat

Menurut kebanyakan ulama Syafi‘e adalah sunat hukumnya menqadha sembahyang-sembahyang sunat sekalipun pada waktu-waktu yang ditegah untuk bersembahyang seperti selepas sembahyang Asar dan Subuh. Ini kerana ada hadits yang menyatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah menqadha sembahyang sunat Ba‘diyyah Zuhur di waktu yang ditegah untuk menunaikan sembahyang sunat iaitu selepas sembahyang fardhu Asar.

Imam al-Bukhari meriwayatkan yang maksudnya:

“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah menqadha sembahyang sunat Ba‘diyyah Zuhur selepas bersembahyang Asar.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain dari Qais bin Amrin Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah terlihat seorang lelaki bersembahyang dua rakaat selepas mendirikan sembahyang Subuh, lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pun berkata kepadanya: “Sembahyang Subuh (hanya) dua rakaat”, lalu lelaki itu pun berkata: “Aku belum menunaikan sembahyang sunat dua rakaat sebelum Subuh” (sembahyang sunat Fajar), maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam hanya berdiam diri.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis-hadis serta penjelasan-penjelasan yang telah disebutkan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa sembahyang-sembahyang sunat yang ditentukan kadar masa untuk mengerjakannya dan sembahyang-sembahyang sunat muthlaq yang sudah menjadi kebiasaan seharian bagi seseorang adalah sunat diqadha pada bila-bila masa jika tidak dapat menunaikannya di waktu-waktunya yang telah ditetapkan oleh syarak.

Oleh yang demikian, sama-samalah kita merebut peluang dan janganlah memandang ringan akan amalan sembahyang sunat ini kerana ianya akan menjadi bekalan yang dapat membantu mencukupkan amalan sembahyang fardhu jika terdapat kekurangan padanya di hari akhirat kelak.