Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang Sunat Tarawih Secara Bersendirian: Hukum dan Kedudukannya

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sembahyang sunat Tarawih merupakan sembahyang sunat muakkadah iaitu sembahyang sunat yang diberatkan untuk umat Islam melakukannya di bulan Ramadhan bagi menghidupkan malam-malam pada bulan tersebut.

    Pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sembahyang sunat Tarawih dilakukan di Masjid Madinah. Diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang bersama orang ramai beberapa hari. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar bersembahyang selepas itu kerana Baginda takut sembahyang sunat Tarawih itu nanti diwajibkan ke atas umat Islam dan menjadi bebanan atau memberatkan kepada mereka. Inilah keprihatinan Baginda terhadap umat Islam sebagaimana yang telah diceritakan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:

    Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah keluar pada suatu malam (di tengah malam), lalu Baginda mengerjakan sembahyang di masjid lantas beberapa orang lelaki turut mengerjakan sembahyang bersama-sama Baginda.

    Pada waktu pagi, orang ramai pun bercakap mengenai perkara tersebut. Lalu berhimpunlah lebih ramai (dari malam pertama) di kalangan mereka. Kemudian Baginda mengerjakan sembahyang dan mereka pun turut mengerjakan sembahyang bersama-sama Baginda.

    Pada waktu pagi berikutnya, orang ramai pun bercakap mengenai hal tersebut. Maka pada malam ketiga itu berhimpunlah lebih ramai lagi ahli masjid. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar seperti biasa untuk mengerjakan sembahyang dan mereka pun turut mengerjakan sembahyang bersama-sama Baginda.

    Apabila datang malam yang keempat, masjid pun dipenuhi oleh para jemaah sehinggalah Baginda keluar untuk mengerjakan sembahyang fardhu Subuh. Setelah Baginda selesai mengerjakan sembahyang fardhu Subuh, Baginda pun menghadap orang ramai lalu Baginda bertasyahhud, kemudian bersabda: “Adapun, sesungguhnya tidak tersembunyi dari pengetahuanku akan keadaan kamu, akan tetapi aku khuatir (sembahyang sunat Tarawih) akan diwajibkan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu melaksanakannya”.
    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Gambar Freepik

    Selepas peristiwa itu, Baginda terus menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara bersendirian dan umat Islam pun masing-masing mengerjakannya secara bersendirian. Ada pula sebahagiannya mengerjakannya secara berjemaah di masjid dan berlakulah sembahyang sunat Tarawih itu sedemikian rupa sehingga Baginda wafat.

    Pada zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu, sembahyang sunat Tarawih juga dilakukan sebagaimana sebelumnya. Sehinggalah pada suatu malam, beliau telah keluar dari rumahnya di bulan Ramadhan untuk pergi ke masjid. Beliau mendapati orang ramai mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berkelompok-kelompok, ada yang mengerjakannya secara bersendirian dan ada pula yang mengerjakannya secara berjemaah. Melihat keadaan ini, beliau mengarahkan agar menghimpunkan orang ramai supaya mengerjakannya secara berjemaah dengan berimam kepada Ubai bin Ka‘ab Radhiallahu ‘anhu.

    Pada suatu malam, Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu telah datang ke masjid lantas melihat sendiri orang ramai mengerjakan sembahyang di belakang seorang imam.

    Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu sangat gembira melihat keadaan ini lalu berkata: “Ini adalah bid‘ah yang baik”.

    Para fuqaha sepakat menyatakan bahawa sembahyang sunat Tarawih sunat dikerjakan secara berjemaah sebagaimana yang sabit dilakukan sendiri oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat Radhiallahu ‘anhum serta para pengikut mereka sejak zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu dan berterusan diamalkan secara berjemaah hingga sekarang.

    Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana pula hukumnya jika sembahyang sunat Tarawih itu dikerjakan secara bersendirian dan adakah ia dikira memenuhi tuntutan dan beroleh pahala mengerjakan sembahyang sunat Tarawih?

    SEMABHYANG SUNAT TARAWIH DIKERJAKAN SECARA BERSENDIRIAN

    Menurut mazhab asy-Syafi‘i, sembahyang sunat Tarawih boleh dikerjakan sama ada secara berjemaah di masjid atau di rumah atau sebagainya, dan ia juga sah dan memadai jika dikerjakan secara bersendirian.

    Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata dalam kitabnya al-Majmu‘ yang ertinya:

    Maka sembahyang sunat Tarawih hukumnya sunat dengan ijma‘ para ulama, dan menurut mazhab kami (mazhab asy-Syafi‘i) ia dikerjakan sebanyak dua puluh rakaat dengan sepuluh kali salam, dan ia harus dikerjakan sama ada secara bersendirian ataupun secara berjemaah.

    Penjelasan Imam an-Nawawi Rahimahullah ini dengan sendirinya menjawab persoalan sebahagian orang ramai yang musykil mengenai kedudukan mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara bersendirian adakah ia sah ataupun tidak.

    YANG MANA LEBIH AFDHAL: SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH SECARA BERSENDIRIAN ATAU BERJEMAAH?

    Sebelum ini telah dijelaskan bahawa sembahyang sunat Tarawih sunat dikerjakan secara berjemaah dan ia juga boleh dikerjakan secara bersendirian. Di sini timbul lagi satu persoalan, adakah sembahyang sunat Tarawih itu lebih afdhal dikerjakan secara berjemaah ataupun sebaliknya?

    Menurut pendapat jumhur ulama mazhab asy-Syafi‘i serta pendapat kebanyakan ulama Ahli as-Sunnah, sembahyang sunat Tarawih lebih afdhal dikerjakan secara berjemaah. Ini berdasarkan beberapa hujjah, antaranya:

    (i) Fadhilat khusus yang dijanjikan kepada orang yang mengerjakan sembahyang sunat Tarawih secara berjemaah hingga selesai.

    Perkara ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu. Dalam hadits tersebut, diriwayatkan bahawa pada suatu malam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengimamkan sembahyang sunat Tarawih.

    Setelah selesai Baginda mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama para sahabat, para sahabat lalu meminta supaya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meneruskan qiyam bersama mereka seluruh malam. Lalu Baginda pun bersabda yang maksudnya:

    Bahawa barangsiapa yang qiyam (mengerjakan sembahyang sunat Tarawih) bersama dengan imam sehingga imam selesai, nescaya dituliskan untuknya ganjaran qiyam sepanjang malam.
    (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda