Sunday, December 4, 2022
25.9 C
Brunei

-

Sembahyang sunat Tawaf: Bagaimana cara mengerjakannya?

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

TAWAF merupakan salah satu daripada rukun haji dan umrah. Ia dikerjakan dengan mengelilingi Ka‘bah sebanyak tujuh kali dengan syarat-syarat tertentu. Setelah selesai melakukan tawaf, sunat mendatangi Multazam (kedudukannya antara al-Hajar al-Aswad dan pintu Ka‘bah) lalu berdoa dan seterusnya beredar untuk mengerjakan sembahyang sunat Tawaf dua rakaat.

Namun begitu bagi sesiapa yang ingin terus mengerjakan sa‘i adalah sah hukumnya mengerjakannya sebelum melakukan sembahyang sunat Tawaf dua rakaat. Persoalan yang berkaitan dengan sembahyang Tawaf ini ialah bagaimanakah sebenarnya sembahyang dua rakaat Tawaf ini? Adakah sembahyang ini mempunyai keistemewaan dan perbezaan daripada sembahyang sunat yang lain? Sampai bilakah tempoh waktu mengerjakannya?

Cara mengerjakannya

Sebenarnya sembahyang sunat Tawaf dua rakaat ini sama juga dengan sembahyang sunat dua rakaat yang lain, hanya perbezaannya ia dilakukan selepas mengerjakan tawaf.

Sembahyang ini mempunyai keistimewaan daripada sembahyang-sembahyang yang lain kerana menurut pendapat yang ashah, orang yang mengambil upah untuk mengerjakan haji boleh melakukan sembahyang ini bagi pihak si pemberi upah. Ini bermakna walaupun orang yang mengambil upah itu yang melakukan sembahyang sunat Tawaf ini, tetapi orang yang memberi upah itu juga akan mendapat pahala mengerjakannya.

Manakala hukum mengerjakannya adalah sunat kerana ia adalah di antara sembahyang tambahan kepada sembahyang-sembahyang fardhu yang lima. Oleh kerana hukumnya sunat, maka ia juga boleh dikerjakan dalam keadaan duduk walaupun mampu untuk mengerjakannya secara berdiri, samalah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang sunat yang lain.

Sembahyang sunat Tawaf dikira terlaksana dan memadai dengan mengerjakan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat yang lain, sama halnya seperti sembahyang sunat Tahiyyah al-Masjid. Jika diniatkan sembahyang fardhu atau sunat yang lain itu dengan sunat Tawaf, maka hasil pahala keduanya dan jika tiada diniatkan sunat Tawaf berserta dengan sembahyang yang lain itu, maka tiadalah hasil pahala sembahyang sunat Tawaf, walaubagaimanapun tuntutan mengerjakannya sudah dikira tertunai. Akan tetapi, sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada perselisihan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini, seeloknya dikerjakan sembahyang sunat Tawaf itu selepas mengerjakan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat yang lain itu.

Lafaz niatnya:

Lafaz niat sembahyang sunat Tawaf yang membawa erti, “Sahaja aku sembahyang sunat Tawaf dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

Surah-surahnya:

Pada rakaat pertama selepas membaca surah al-Fatihah sunat dibaca surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua selepas surah al-Fatihah dibaca surah al-Ikhlas.

Menurut sebuah hadis yang maksudnya: “Daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapanya, adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam suka membaca dalam dua rakaat sembahyang Tawaf “Kulya Auhal Kafirun” dan “Kulhu Allahu Ahad” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Jika sembahyang ini dilakukan pada waktu malam dan setelah terbit fajar sunat membacanya dengan bacaan yang nyaring (jahr). Manakala jika dilakukan pada waktu siang pula tidak disunatkan membacanya dengan bacaan yang nyaring.

Doanya:

Selepas selesai sembahyang, sunat dibaca doa di bawah ini yang membawa erti “Ya Allah sesungguhnya ini adalah Negeri HaramMu dan Masjid HaramMu serta Bait HaramMu (Ka‘bah), dan aku adalah hambaMu, anak hambaMu dan anak daripada hamba perempuanMu, aku datang kepadaMu dengan membawa dosa yang banyak serta kesalahan yang bertimbun dan membawa amalan-amalan yang buruk, dan inilah Maqam orang yang berlindung kepadaMu daripada api neraka (iaitu Maqam Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam), maka ampunilah aku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah memanggil hambaMu ke al-Bait al-Haram ini, sesungguhnya aku datang menuntut kerahmatanMu, mengharapkan keredhaanMu dan Engkaulah yang mengurniakan ke atasku yang demikian itu, maka ampunilah aku dan rahmatilah (kasihanilah) aku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Atau dibaca doa yang disebut dalam kitab Ihya ‘Ulumiddin yang membawa erti Ya Allah, permudahkanlah bagiku segala kemudahan dan jauhkanlah dariku kesusahan, ampunkanlah (dosaku) yang akhir dan terdahulu, peliharakanlah aku dengan penuh balas kasihMu sehingga aku tidak menderhakaiMu, dan tolonglah aku dalam menta‘atiMu dengan taufikMu, dan jauhkanlah aku dari melakukan dosa kepadaMu, dan jadikanlah aku daripada kalangan orang-orang yang menyintaiMu, dan menyintai para MalaikatMu dan RasulMu dan para shalehin.

Ya Allah, sepertimana Engkau beri aku petunjuk dengan agama Islam, maka tetapkanlah aku (pada agamaMu) dengan penuh balas kasihMu, kekuasaanMu, taufikMu, dan petunjukMu, dan perlakukanlah aku supaya mentaatiMu dan rasulMu, dan hindarilah aku dari segala perkara yang menyesatkan yang datang daripada fitnah-fitnah.

Sembahyang sunat Tawaf dua rakaat afdhal dilakukan pada setiap kali selesai mengerjakan tawaf. Walau bagaimanapun, harus hukumnya melakukan sembahyang sunat Tawaf dengan berturut-turut mengikut bilangan jumlah tawaf yang dilakukannya jika tawaf itu dikerjakan beberapa kali (dua kali atau lebih) dengan berturut-turut. Akan tetapi, melakukannya dengan cara demikian itu adalah dikira meninggalkan perkara yang lebih utama (khilaf al-awla). Bahkan adalah harus juga jika ia dilakukan dengan dua rakaat sahaja bagi kesemua tawaf tersebut dan tidaklah dihukumkan makruh.

Tempat yang afdhal mengerjakannya

Sembahyang sunat Tawaf ini afdhal dikerjakan di belakang Maqam Ibrahim, sebagaimana riwayat hadis daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya, “Telah datang Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam lalu Baginda tawaf mengelilingi Ka‘bah tujuh kali, kemudian Baginda sembahyang (sunat Tawaf) dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Akan tetapi, tidaklah terhasil pahala sunat atau keutamaan mengerjakannya di belakang Maqam Ibrahim itu jika sembahyang dua rakaat Tawaf itu dilakukan jauh di belakang sekira-kira antaranya dan Maqam Ibrahim itu tiga ratus hasta jaraknya.

Walau bagaimanapun jika di belakang Maqam Ibrahim itu terlalu sibuk, maka bolehlah memilih untuk melakukan sembahyang ini di tempat yang lain mengikut urutan yang afdhal selepasnya, iaitu di kawasan Hijr Isma‘il yang terletak di bawah pancuran air (al-Mizab), kemudian di mana-mana kawasan Masjid al-Haram dan kemudian di mana-mana tempat di tanah haram, dan kemudian di mana-mana tempat yang dikehendakinya selain tempat yang telah disebutkan itu.

Waktu mengerjakannya

Sembahyang sunat Tawaf ini seperti yang telah dijelaskan, dikerjakan selepas melakukan tawaf dan waktunya tidak luput selagi orang yang mengerjakan tawaf itu masih hidup sekalipun dia telah kembali ke tanah airnya. Akan tetapi, jika sembahyang ini dikerjakan di negerinya iaitu setelah ia kembali ke tanah airnya, maka orang tersebut dikenakan membayar dam kerana kelewatan mengerjakannya bukan di tanah haram. Hukum membayar dam ini pula adalah sunat bukanlah wajib.

Melakukannya pada waktu-waktu yang ditegah bersembahyang 

Sembahyang sunat Tawaf adalah dikategorikan dalam kelompok sembahyang yang mempunyai sebab yang terdahulu sama seperti sembahyang sunat Istisqa’,

sembahyang Gerhana, sembahyang sunat yang dinazarkan, sembahyang Hari Raya, sembahyang sunat Dhuha, sembahyang sunat Wudhu, sembahyang sunat Tahiyah al-Masjid. Sembahyang-sembahyang yang mempunyai sebab yang terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu, tidak makruh dan tidak haram.

Oleh itu, sembahyang sunat Tawaf boleh didirikan dalam waktu-waktu yang ditegah mengerjakannya.

Sembahyang sunat tawaf ini tidak kurang pentingnya dalam kita mengerjakan segala manasik haji dan umrah. Ia adalah antara perkara-perkara sunat yang berkaitan dengan tawaf yang sepatutnya kita tidak abaikan.

Selain itu, dari segi kelebihannya sembahyang sunat tawaf ini sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain, ia dapat menambal mana-mana kekurangan yang mungkin tidak disedari terdapat di dalam sembahyang-sembahyang fardhu yang kita lakukan, sebagaimana hadits Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang diriwayatkan Imam Ahmad daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Allah akan mencukupkan kekurangan sembahyang fardhu hambaNya itu dengan amalan sembahyang sunatnya.

Artikel sebelum iniDambakan bidadari penghias syurga
Artikel seterusnyaGila baju bundle
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -