Sembang Inspirasi Ibu Bapa di SMSA

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 16 OGOS – Sebagai sebahagian daripada inisiatifnya, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di sekolah-sekolah Kluster 6 telah mengadakan program motivasi dinamakan Program Sembang Inspirasi Ibu Bapa yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), Kuala Belait.

Dengan dihadiri oleh lebih 20 orang ibu bapa dan penjaga dari kawasan sekitar sekolah berkenaan, program bertujuan sebagai platform untuk melengkapkan ibu bapa dan penjaga dengan pengetahuan yang diperlukan serta berkongsi kemahiran, pengalaman dan pandangan dalam mendidik anak-anak dalam era moden ini.

Hadir pada program berkenan untuk menyaksikan pelbagai sesi motivasi diadakan ialah Pengerusi PIBG Kluster 6 sesi 2018-2020 dan Pengerusi PIBG Maktab Antony Abell (AAC), Awang Suhaini bin Haji Othman; Timbalan Pengerusi PIBG Kluster 6 sesi 2018-2020, Awang Iskandar bin Haji Alias; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah, Hajah Jeriah binti Haji Duraman; Ketua Unit Kesejahteraan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Hajah Zaiton binti Haji Damit; Ketua Unit Kerjaya dan Kaunseling, Awang Mohamad Hatta bin Haji Suhaili; Pengetua AAB, Dayang Mas Diana binti Haji Abdul Samat dan Pengetua SMSA, Steven Shim Sheau Huei.

Program telah diisikan dengan siri taklimat motivasi yang antaranya disampaikan oleh Presiden Persatuan PEKA Negara Brunei Darussalam, Awang Diny bin Haji Karim
dengan tajuk ‘Ibu Bapa Cemerlang Anak Terbilang’ serta taklimat bertajuk ‘Ibu Bapa dan Guru Pencetus Kejayaan Insan’ yang disampaikan oleh Presiden PIBG Kebangsaan sesi 2019-2022, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.

Selain itu, beberapa persembahan dalam bentuk muzikal motivasi juga telah dipersembahkan oleh Kelab Muzik AAC yang diketuai oleh Chan Mun Yok.

Pada penghujung program, ibu bapa dan penjaga yang hadir mengisi borang sebagai sebahagian daripada maklum balas penilaian berdasarkan pengetahuan yang diperolehi dan bagaimana ia memberi impak kepada pandangan mereka mengenai bagaimana mendidik anak-anak mereka di rumah.

Awang Diny ketika menyampaikan taklimatnya semasa program yang diadakan di SMSA.