Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Sembang kreatif sempena Bulan Bahasa DBP

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, hari ini, telah mengadakan Nyanyian Kanak-kanak Tradisi Brunei: Sembang Kreatif sebagai salah satu pengisian kegiatan Festival Sastera dan Seni Budaya Melayu Brunei sempena Bulan Bahasa 2022.

    Pelaksanaan kegiatan itu merupakan usaha besar dan strategik jabatan untuk menyebarluaskan dan mempromosi penerbitan buku Koleksi Irama dan Lagu O Kanak-kanak yang mengandungi 56 buah lagu kanak-kanak tradisi Brunei secara meluas.

    Di samping itu, ia juga sebagai usaha untuk memperkasa dan mengembang luaskan penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud yang juga berpeluang melawat pameran edukatif yang mempamerkan buku-buku himpunan lagu kanak-kanak dari edisi pertama hingga ketiga.

    Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, lagu kanak-kanak tradisi dicipta bukan hanya sekadar berbentuk hiburan tetapi seni dan lirik lagu yang dicipta mempunyai nilai pengajaran dan moral yang tinggi.

    Katanya lagi, inisiatif mengadakan majlis berkenaan adalah bertepatan untuk mendidik dan memberikan kefahaman mengenai seni lagu kanak-kanak tradisi Brunei secara terperinci kepada masyarakat.

    Antara lain objektif sembang kreatif adalah untuk menyebarluaskan ilmu mengenai lagu kanak-kanak tradisi Brunei supaya khazanah tetap relevan dan dikenali oleh masyarakat seterusnya memberikan nilai dan manfaat ilmu lagu kanak-kanak tradisi Brunei kepada masyarakat. Ia dilaksanakan dengan konsep bicara yang disampaikan oleh mantan Pengarah DBP, Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Bakyr, dengan membincangkan mengenai falsafah dan edukasi lagu kanak-kanak tradisi Brunei.

    Manakala, moderatornya ialah Pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff yang juga merupakan Peneri-ma Anugerah Penulis Asia Tenggara 2011.

    Sembang kreatif menyasarkan orang ramai yang terdiri daripada Pengarah Belia dan Sukan serta jabatan-jabatan di bawahnya, Kementerian Pendidikan, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, mantan pengarah DBP, para penghulu mukim dan ketua kampung, pensyarah dan guru serta siswa dan siswi, pelajar dan warga DBP.

    Dato Paduka Haji Mahmud selaku pembicara pada majlis berkenaan.
    Koleksi buku lagu kanak-kanak tradisi yang dipamerkan pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...