Sembilan anak damit ‘merdeka’ dilahirkan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Sembilan kelahiran anak damit iaitu tujuh perempuan dan dua lelaki telah dicatatkan selepas detik 12 tengah malam sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-36 di seluruh negara.

Media Permata ketika menghubungi wad bersalin Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dimaklumkan bahawa anak damit terawal dilaporkan dilahirkan pada jam 2:50 pagi di Hospital RIPAS iaitu anak damit perempuan seberat 2.4 kilogram, diikuti dua anak damit perempuan, masing-masing seberat 3 kilogram pada jam 3:45 pagi dan 3.2 kilogram pada jam 5 pagi.

Kelahiran anak damit terakhir yang dilaporkan di Hospital RIPAS ialah anak damit lelaki seberat 2.8 kilogram pada jam 9:18 malam.

Sementara itu, Daerah Belait pula mencatatkan lima kelahiran dengan anak damit pertama lelaki seberat 3.07 kilogram dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan pada jam 7:28 pagi.

Daripada jumlah itu, dua adalah perempuan dan tiga lelaki yang dilahirkan antara jam 7:28 pagi hingga 11:55 malam.

Walau bagaimanpun, tiada kelahiran anak damit dicatatkan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Daerah Temburong serta Pusat Perubatan Jerudong Park pada tarikh bersejarah itu.

Tarikh bersejarah 23 Februari bukan sahaja sinonim dengan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan negara, bahkan ia turut mencatat detik bermakna buat pasangan suami isteri yang menyambut kelahiran anggota baharu dalam keluarga mereka.