Sembilan kelab Liga Super kembali sertai ECA

PARIS, 17 OGOS – Sembilan daripada 12 ahli pengasas Liga Super Eropah kembali menyertai Persatuan Kelab Eropah (ECA), kelmarin, tetapi Barcelona, Real Madrid dan Juventus kekal tidak menyertai kumpulan tersebut ketika mereka meneruskan untuk kembali dengan projek keluar daripada ECA.

ECA berkata Atletico Madrid, AC Milan dan Inter Milan, bersama kesemua enam kelab dari Liga Perdana Inggeris yang terlibat dalam projek tersebut – Manchester City, Manchester United, Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspur – kembali selepas memaklumkan bahawa Liga Super ‘tidak memberi manfaat kepada komuniti bola sepak yang lebih luas’.

Sembilan kelab tersebut sebelum ini menyertai projek pada April tetapi menarik diri dalam tempoh 48 jam selepas menerima tentangan daripada peminat, pemain dan penganjur.

ECA menggelarnya sebagai ‘episod yang disesali bagi bola sepak Eropah’ dan turut mengambil maklum kelab-kelab ‘secara sukarela menyertai ECA secara aktif dalam misi kolektif untuk membangunkan bola sepak kelab Eropah – secara terbuka dan telus mengenai semua perkara’.

Sembilan kelab yang terlibat bersetuju dengan denda yang dikenakan oleh UEFA, termasuk pemotongan lima peratus pendapatan mereka di kejohanan Eropah untuk semusim, selepas berundur dan memohon maaf atas ‘kesilapan’ mereka menyertai projek tersebut.

Walau bagaimanapun, Real Madrid, Barcelona dan Juventus enggan berganjak dengan pendirian mereka – pada awal musim panas ini, Presiden Barcelona, Joan Laporta mendakwa Liga Super masih berjalan.

Dia menegaskan Liga Super akan memberikan ‘kelestarian kewangan untuk kelab-kelab dan menjadikan kejohanan lebih menarik’. – AFP

Sembilan ahli pengasas Liga Super Eropah kembali menyertai ECA namun Presiden Barcelona, Joan Laporta mendakwa Liga Super masih berjalan. – AFP