Sembilan kesalahan kompaun dicatatkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Sembilan kesalahan kompaun telah dicatatkan dalam operasi sekatan jalan raya yang dijalankan oleh Balai Polis Sengkurong di Lebuhraya Muara-Tutong, baru-baru ini.

Antara kesalahan didapati semasa operasi tersebut termasuk cukai jalan mansuh, lampu plat lesen tidak menyala, lesen memandu mansuh serta menggunakan kenderaan persendirian untuk tujuan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), operasi pada 2 Jun lalu itu diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Penolong Penguasa Percubaan Polis (P/ASP) Abdul Hakim Ansyari bin Abdul Rahman dengan melibatkan 12 orang anggota balai.

Kenyataan menyatakan, PPDB melalui daerah-daerah polis sentiasa berusaha dalam meningkatkan kesiapsiagaan khususnya menangani pembanterasan sebarang aktiviti-aktiviti jenayah dan juga yang berkaitan dengan pelanggaran akta lalu lintas.

Salah satu strategi yang memberikan impak dan sangat berkesan ialah melalui operasi-operasi melibatkan sekatan jalan raya.

Selain mengesan kesalahan-kesalahan berkaitan lalu lintas, ia juga memberikan kesan dalam memberikan pendidikan dan kesedaran kepada para pemandu akan kepentingan mematuhi akta lalu lintas bagi tujuan kebaikan serta kemaslahatan penduduk dan rakyat negara ini.

Operasi sedemikian akan sentiasa dijalankan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Anggota polis ketika membuat operasi sekatan jalan raya di Lebuhraya Muara-Tutong. – Gambar serahan PPDB