Sembilan maut rumah orang tua terbakar

MOSCOW, 11 MEI – Satu kebakaran meletus di sebuah rumah orang tua di rantau Moscow, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang, kata pihak berkuasa tempatan hari ini.

Kebakaran di rumah jagaan milik persendirian di bandar Krasnogork bermula sekitar tengah malam semalam dan berjaya dipadamkan dalam masa sejam, kata perkhidmatan kecemasan.

“Sembilan orang terkorban di tempat kejadian dan sembilan lagi dikejarkan ke hospital dalam keadaan serius dan sedang dirawat di wad rapi,” kata kerajaan perbandaran Krasnogork dalam satu kenyataan.

Agensi berita Rusia berkata 37 orang berada dalam bangunan pada masa kebakaran.

Penyiasat berkata mangsa dengan luka terbakar dipercayai berusia di antara 66 dan 90 tahun.

Mereka berkata wayar elektrik yang rosak mungkin merupakan punca kejadian. Satu siasatan mengenai pencabulan keselamatan kebakaran telah dilancarkan.

Mereka menahan pengurus rumah jagaan, menganggapnya sebagai suspek, lapor agensi berita.

Akhbar Kommersant berkata ramai penghuni rumah jagaan tidak boleh berjalan dan pekerja tidak dapat membawa mereka keluar walaupun kebakaran adalah kecil.

Kebakaran adalah kejadian kedua di Moscow dalam sebulan, penyiasat menyiasat satu lagi kebakaran di rumah persaraan mewah di Moscow pada April, yang meragut enam nyawa. – AFP

Gambar video menunjukkan anggota bomba bekerja di bumbung sebuah rumah orang tua yang terbakar di pinggir bandar Moscow, Rusia kelmarin. – AP