BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Sembilan orang peserta akan berentap dalam tiga kategori di Pertandingan Pidato Sejarah Piala Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang akan berlangsung pada 23 November depan di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei, di sini.
Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini, telah mengumumkan para peserta yang mara ke peringkat akhir berkenaan setelah peringkat separuh akhir diadakan selama tiga hari pada 11 hingga 13 September lalu.
Tiga orang peserta yang mara ke peringkat akhir dalam Kategori A ialah Dayang Siti Julaiha binti Puasa dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Mohammad Hajib Sarhan bin Haji Harkani dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Dayang ‘Izzatul Abidah binti Haji Mohamad Gani dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Bagi Kategori B pula ialah Dayang Saizatul Natasha binti Saipol Rizal dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), Dayang Nur Shahirah binti Haji Bakar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan Dayang Alleyyana Edanna anak Bala dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong.
Manakala itu, tiga peserta bagi Kategori C pula terdiri daripada Alvina Hee Chee Ying dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, Awangku Mohd Nukman Syawqi bin Pengiran Mohd Salimin dari Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Dayang Norafifah binti Haji Latif dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu nanti ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.