Semboyan luahan nasihat si ratu hati

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Luanloko

Ibu, engkaulah ratu hati. Setiap bait kata-katamu adalah cinta. Cinta yang sungguh mewangi setulus rasa kasih sayang. Kasih tercurah tiada tandingannya, sentiasa mekar bersulam harapan dan doa.

Tiupan doa kepada Yang Maha Esa agar anak-anakmu menjadi insan pantang menyerah dalam meniti ranjau kehidupan.

Begitulah antara luahan makna tersirat yang diungkapkan oleh salah seorang artis hip-hop dan rap tanah air yang lebih popular dengan nama Luanloko di sebalik sebuah lagu nyanyiannya berjudul Semboyan yang kini berada di tangga ke-9 (Top 10) dalam Carta HipHop Malaysia di HMO Radio Malaysia.

Sebuah lagu berkonsepkan kata-kata puitis nasihat seorang insan bergelar ibu kepada anak tersayang agar tetap bangkit mengejar cita-cita itu merupakan kerjasama beliau dengan beberapa penggiat seni muzik di negara jiran, Malaysia.

Kini, lagu berkenaan mula menjadi siulan ramai di corong-corong radio di negara jiran itu antaranya Era RM dan Hot FM.

Luanloko kini tampil semula dengan sebuah lagu berjudul Semboyan hasil kerjasama dengan beberapa penggiat seni muzik di Malaysia.

Kembali setelah beberapa tahun

Lagu yang telah berjaya dirakam di salah sebuah studio tempatan, Luanloko atau nama sebenarnya Jasmin Hassan menyatakan lagu itu dicipta sepenuhnya oleh seorang penyanyi rap dari Malaysia, Kmy Kmo, juga merupakan penulis lirik bagi lagu tersebut.

Idea muziknya pula disusun oleh Luca Sickta yang juga selaku salah seorang produser dari negara tersebut bersama beliau sendiri.

“Sekitar tahun 2010, itulah detik mula diri ini menceburi industri muzik khususnya dalam genre rap. Namun beberapa tahun lalu, saya berehat sementara di sebabkan kesibukan dengan komitmen menguruskan perniagaan secara kecil-kecilan, The Jazzy’s Burger,” jelasnya.

“Alhamdulillah, kini saya bersedia untuk tampil aktif kembali, lebih-lebih lagi setelah menerima kepercayaan untuk menyanyikan lagu baharu ciptaan daripada salah seorang penyanyi rap Malaysia, Kmy Kmo, yang sememangnya tidak asing lagi dalam industri muzik di sana.

“Beberapa tahun lalu, ketika sedang menyaksikan sebuah konsert berlangsung di Shah Alam semasa berada di Malaysia, itulah pertama kali saya berjumpa dengannya dan bermula saat itu mula mengenalinya sehingga sering berkongsi ilmu dan pengalaman bersama dalam bidang nyanyian. Inilah peluang keemasan dan suatu rezeki yang tidak disangka,” kongsinya dengan nada penuh kesyukuran.

Salah satu pengalaman manis, Luanloko yang juga pernah diundang oleh pihak Astro di Malaysia untuk membuat rakaman suara latar bagi cerita kartun Madagascar dengan memegang watak penguin yang dikenali sebagai Private sekitar tahun 2010 dan pada saat itulah beliau mula kenal ramai artis-artis luar negara termasuklah produser Malaysia yang sangat berbakat dan peramah.

Menggengam harapan, berkarya bersama

Luanloko merupakan artis di bawah HMO records label Malaysia yang kini sedang menunggu muzik video Semboyan yang akan dikeluarkan menerusi saluran YouTube, iaitu HMO TV YouTube pastinya turut menaruh harapan besar untuk sentiasa berusaha lebih gigih bagi menghasilkan lagu-lagu terbaik pada pada masa datang bukan hanya kuantiti semata bahkan juga dengan kualiti dan keistimewaan yang tersendiri.

“Saban tahun, kita turut menyaksikan perkembangan positif dalam industri muzik tanah air kita, dari pelbagai genre yang ditampilkan oleh anak-anak seni tempatan kita, masing-masing memiliki gaya penampilan tersendiri yang sememangnya begitu membanggakan sehingga penerimaannya bukan hanya dalam kalangan masyarakat di negara ini bahkan juga pendengar-pendengar dari negara-negara jiran.

“Dalam apa jua yang kita impikan, jangan pernah berhenti selagi kita mampu melakukannya. Janganlah malu untuk menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing.

Teruslah berkarya anak-anak Brunei demi mengharumkan tanah air kita bersama,” ujarnya lagi dengan nada penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi pertemuan bersama penulis secara dalam talian, baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia turut memiliki perancangan untuk mengeluarkan sebuah lagu duet bersama salah seorang anggota penyanyi dari kumpulan Ruffedge, Azan Addin dan juga Karmasmonologue (Kay Em) selaku salah seorang penyanyi rap tempatan nanti.