BANDAR SERI BEGAWAN, 2013 – Para penyeludup dadah sentiasa mencari kaedah terbaru untuk mengaburi mata dan mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, percubaan sepasang penuntut warga tempatan yang cuba menyeludup masuk dadah terkawal ke negara ini dengan menyembunyikan dadah tersebut dalam mulut, telah berjaya dipatahkan oleh Biro Kawalan Narkotik dengan kerjasama pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.
Kedua-dua mereka telah ditahan atas cubaan untuk menyeludup dadah terkawal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Biro Kawalan Narkotik, kedua-dua penuntut warga tempatan itu yang masing-masing berusia 22 tahun dan 23 tahun cuba untuk memperdayakan pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah terkawal di dalam mulut. BKN telah menahan kedua suspek setiba mereka ke Brunei dari negara jiran dengan menggunakan pesawat tambang murah.
Semasa pemeriksaan ke atas suspek berkenaan, didapati mereka membawa dadah jenis ganja bersama dengan alat-alat menghisap dadah.
Menurut kenyataan itu lagi, modus operandi sedemikian merupakan taktik penyembunyian baharu yang berjaya dikesan oleh Biro Kawalan Narkotik di Brunei dan ia menunjukkan tren serta taktik penyembunyian yang sering berubah-ubah dan dinamik.
Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 5, Seksyen 7 dan Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu kesalahan membabitkan dadah Kelas B jenis Ganja. Di bawah Seksyen 5 iaitu kesalahan mengimport dan mengeksport dadah ke dalam/keluar dari negara ini.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman minimum 5 tahun penjara dan 5 kali sebatan.
Biro Kawalan Narkotik sentiasa meningkatkan usahanya untuk mengesan individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah, supaya rakyat dan negara terus kekal selamat dari bahaya dadah.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk memberikan kerjasama dan sebarang maklumat mengenai dengan kegiatan yang mencurigakan serta kegiatan penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian BKN selepas waktu bekerja.