Sembunyi wang dalam seluar dalam, amah dipenjara 6 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mencuri wang majikannya berjumlah $1,200 telah dihukum enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu menjatuhkan hukuman itu terhadap Rostini binti Moksin, 23, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan pada 8 Mei 2020 di rumah majikannya di RPN Kampung Pandan, Kuala Belait.

Ketika kejadian, tertuduh yang baru sebulan bekerja sedang menyapu apabila terlihat gulungan wang diikat gelang getah dalam beg majikannya.

Dia mengambil dan mengira wang itu sebelum menyembunyikannya dalam seluar dalamnya di almari.

Tertuduh kemudian meminta majikannya untuk menghantarnya pulang ke Indonesia.
Pada 12 Mei 2020, majikannya menghantar tertuduh ke rumah ejennya, dan memberitahu yang tertuduh tidak mahu lagi bekerja dengannya dan turut memaklumkan mengenai wangnya yang hilang.

Ejen berkenaan berjanji kepada majikan tersebut untuk menjalankan pemeriksaan badan ke atas pembantu rumah terbabit, dan kemudian mendapati wang itu telah disembunyikan dalam seluar dalamnya.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani binti Jumat.