Semeru meletus lagi, jejas operasi menyelamat

LUMAJANG, INDONESIA, 6 DIS – Gunung Berapi Semeru di Indonesia memuntahkan lebih banyak abu hari ini, menjejaskan usaha pencarian mangsa sementara imej-imej udara menunjukkan takat kemusnahan akibat letusan hujung minggu yang membawa maut.

Gunung terbesar di pulau Jawa itu meletus Sabtu lalu, memuntahkan abu gunung berapi tinggi ke udara dan menghujankan lumpur panas sementara beribu-ribu orang melarikan diri dalam panik. Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh.

Gambar-gambar udara menunjukkan jalan-jalan raya diliputi abu gunung berapi kelabu dan lumpur, yang menenggelamkan banyak rumah dan kenderaan, termasuk seluruh trak.

Agensi bencana kebangsaan Indonesia berkata, 27 orang masih hilang.

“Saya masih berharap anak lelaki saya akan ditemui. Setiap kali saya mendengar ada mangsa ditemui, saya berharap ia adalah anak saya,” kata Maskur Suhri dari kampung Sumberwuluh.

Gunung Semeru mengeluarkan abu gunung berapi semasa letusan seperti yang dilihat dari daerah Lumajang, wilayah Jawa Timur, Indonesia, kelmarin. – AP

“Peluang sangat tipis dia selamat. Mungkin itu nasib anak lelaki saya, tetapi saya harap dia akan ditemui, walaupun hanya jasadnya.”

Aktiviti gunung berapa baharu hari ini menjejaskan usaha-usaha mencari, memaksa pasukan-pasukan penyelamat berundur dari beberapa kawasan.

“Terdapat letusan baharu yang kecil dan ia boleh membahayakan pasukan-pasukan pemindahan,” kata petugas penyelamat, Rizal Purnama.

Kepulan asap tebal yang berbahaya terus keluar dari kawasan-kawasan yang diliputi abu gunung berapi, sementara para penyelamat cuba menggali lumpur untuk mencari mangsa selamat dan mengeluarkan mayat-mayat.

Tugas mereka menjadi lebih sukar apabila serpihan gunung berapi mula mengeras.

“Ia sangat sukar, dengan alat-alat biasa,” kata Rizal Purnama. “Berkemungkinan besar, mereka yang belum ditemui terbenam di bawah aliran lumpur yang panas.”

Para penyelamat lain membantu penduduk kampung yang terdesak menyelamatkan barangan mereka daripada rumah-rumah yang ranap. Sebilangan penduduk kampung mengangkat tilam dan perabot di atas bahu mereka sementara yang lain membawa kambing. – AFP