Seminar bangunkan komuniti pasca pandemik

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BSUnion

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dengan matlamat untuk memberikan peluang kepada para pelajar berbincang mengenai topik berkaitan dengan kajian yang dikendalikan mereka berdasarkan tema, ‘Membangun Sebuah Masyarakat Global Pasca Pandemik’ (Building a Post-Pandemic Global Society), Brunei Students’ Union in the United Kingdom and Eire (BSUnion) dan Global Awareness & Impact Alliance (GAIA) menghoskan siri seminar kedua daripada tiga bahagian yang berlangsung di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 6 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BSUnion, di sini, siri seminar berkenaan dihasratkan untuk menggabungkan idea-idea bernas pelajar universiti dengan pandangan daripada penceramah pakar dalam usaha untuk membina kesiapsiagaan bagi berhadapan dengan dunia pasca pandemik.

Pada siri seminar kedua itu, ia membawa tema yang mengetengahkan bagaimana virus COVID-19 menstrukturkan semula ekonomi serantau di mana ekonomi negara di seluruh dunia menyaksikan peningkatan kadar pengangguran, harga komoditi yang tidak menentu dan belanjawan negara yang perlu disesuaikan semula.

Seminar itu dimulakan dengan kata alu-aluan daripada pengasas bersama GAIA, Dr Asyura Salleh dan Setiausaha Agung BSUnion, Dayang Nazurah Hapiz. Para pembentang semasa seminar terdiri daripada pelajar BA Politics and Economics, Newcastle University, Abdullah Umar; pelajar BA Economics, Durham University, Michael Shie; pelajar BA Architecture, Newcastle University, Ameerah Kasmirhan dan penceramah pakar, Yazid Mahadi, CFA.

Seminar yang dikendalikan oleh Pengurus Projek GAIA, DayangNadeeya Salleh itu menekankan pentingnya urus tadbir efektif dalam mengimbangkan di antara melindungi ekonomi dan kesihatan awam. Seminar juga menyaksikan bagaimana ekonomi global telah berubah ke timur semasa tempoh pandemik yang membawa kepada globalisasi yang berbentuk lebih digital.

Seminar turut mengajak para penonton supaya bermula untuk memikirkan semula kekayaan dalam kaedah yang lebih holistik daripada hanya segi monetari bagi menggalakkan penjanaan semula ekonomi.

Mereka juga diberikan gambaran mengenai situasi ekonomi global dan peluang-peluang yang akan wujud apabila dunia memasuki era pasca pandemik. Seminar itu dibukakan kepada orang ramai dan seminar ketiga dalam siri seminar tiga bahagian berkenaan akan diadakan pada 13 Ogos nanti.

Pembentang-pembentang semasa sesi seminar yang diadakan pada 6 Ogos lalu di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam.
Antara peserta yang menghadiri seminar yang diadakan pada 6 Ogos lalu di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam.