Seminar bincang bidang penghakiman

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Mahkamah Besar Brunei Darussalam dan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam telah menganjurkan siri seminar maya kelmarin yang disampaikan oleh pakar dari UK Slynn Foundation.

Siri seminar dua bahagian itu menawarkan peluang kepada ahli undang-undang dari Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom untuk berbincang dan berkongsi pandangan. Seminar mengenai ‘Penulisan Penghakiman’, disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi England dan Wales, Maura McGowan DBE. Ia bertujuan membincangkan dan berkongsi aspek praktikal kemahiran hakim dan menawarkan nasihat seni menulis pertimbangan yang baik dan kukuh.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; Presiden Slynn Foundation, Sir Peter Gross; Ketua Hakim Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Paduka Steven Chong serta Pesuruhjaya Tinggi British, Tuan Yang Terutama John Virgoe, pegawai dari Slynn Foundation dan hakim dan pegawai kehakiman dari Mahkamah Besar dan Mahkamah Syariah. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Hakim Negara yang antara lainnya menyatakan dalam usaha mencari keadilan, nilai penghakiman yang jelas dan padat adalah penting kerana ia membantu pengguna mahkamah dan orang awam secara amnya memahami dan menerima keputusan mahkamah.  Beliau merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam atas sokongan berterusan kepada Badan Kehakiman Brunei dalam program latihan dan pembangunan untuk hakim dan pegawai kehakiman.

TYT John Virgoe dalam ucapan pembukaannya, mengiktiraf hubungan rapat dan sokongan antara UK dan Brunei, dengan kerjasama kehakiman menjadi bidang perkongsian penting bagi UK.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Haji Ahmad, Sir Peter Gross, Dato Seri Paduka Steven Chong serta TYT John Virgoe, pegawai dari Slynn Foundation dan hakim dan pegawai kehakiman dari Mahkamah Besar dan Mahkamah Syariah.

Pakar British dari UK Slynn Foundation, merupakan sebuah badan amal yang berpangkalan di UK yang bekerja dengan hakim kanan dan institusi keadilan di seluruh dunia untuk meningkatkan kedaulatan undang-undang, meningkatkan pemahaman profesional tentang hak asasi manusia, pengantaraan dan amalan undang-undang.

Maura McGowan DBE menyampaikan ucapan semasa seminar yang berlangsung secara maya baru-baru ini. – Gambar serahan UK Slynn Foundation