Seminar fokus semula dasar kesihatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Dengan matlamat untuk memberikan peluang kepada para pelajar berbincang mengenai topik berkaitan kajian yang dikendalikan berkisar tema ‘Membangun Sebuah Masyarakat Global Pasca Pandemik’, Kesatuan Pelajar Brunei di United Kingdom dan Eire (BSUnion) dan Global Awareness & Impact Alliance (GAIA) menghoskan siri seminar tiga bahagian yang berlangsung di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 3 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BSUnion, di sini, hari ini, topik semasa seminar berkenaan ialah ‘Memfokuskan semula Dasar Kesihatan’, di mana seminar membentangkan mengenai bagaimana pelbagai aspek sektor kesihatan telah ditakrifkan semula oleh pandemik yang melanda.

Kenyataan menyatakan bahawa siri seminar berkenaan dibukakan kepada orang ramai di mana ia dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Pelajar BSUnion dan orang ramai termasuk pelajar-pelajar perubatan dan pergigian UBD serta orang awam.

Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Pengasas Bersama GAIA, Naveed Khan dan Naib Presiden Koordinasi Serantau BSUnion, Michael Shie.

Majlis diteruskan dengan pembentangan oleh para pembentang seminar iaitu pelajar perundangan tahun 2 LLB dari University of Bristol, Vanessa Ang dengan tajuk Staying OK in a not-so-OK World: Keeping our mental health in check, pelajar pergigian tahun 4 BHSc dari University of Glagow, Jia Hui Lim dengan tajuk The impact of COVID-19 on the dental community dan pelajar terapi pekerjaan tahun 3 BSc dari University of Essex, Syafiq Syahrudin dengan tajuk Value of Occupation in regard to Health.

Di samping itu, pakar dasar kesihatan awam dari Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong juga membentangkan dan berkongsi pandangan dalam topik-topik yang dibincangkan.
Kenyataan menyatakan bahawa seminar berkenaan dikendalikan oleh Pengasas Bersama GAIA, Dr Asyura Salleh di mana beliau mengetengahkan pentingnya untuk mematuhi Chatham House Rules di mana perbincangan yang dibentangkan tidak dikaitkan dengan individu yang membentangnya.

Antara para peserta yang menghadiri sesi seminar yang berlangsung di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 3 Ogos lalu. – Gambar serahan BSUnion