Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Seminar Antarabangsa mengenai Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban ke-3 (SAPPHAT III) 2018 yang diadakan sempena Pameran Brunei Halal (BruHas) 2018 membincangkan pelbagai topik yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan halal yang membuka mata dan fikiran para pendengar.
Seminar dua hari bermula hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas itu mengetengahkan para pembentang dari dalam dan luar negara yang akan membuat pembentangan dalam empat sesi.
Antara yang membuat pembentangan dalam sesi pertama hari ini, selepas majlis perasmian, ialah Mentor Startup Ekonomi Islam, Quest Ventures (Singapura), Dr Rushdi Siddiqui telah membentangkan kertas perdana bertajuk ‘Halal 2.0: Frameworking New Paradigm for Halal’.
Beliau antara lain menyentuh mengenai pandangan, imej dan naratif mengenai produk dan perkhidmatan halal dan pemacu teknologi halal dan Brunei dalam produk dan perkhidmatan halal.
Kemudian, Profesor Adjung Datuk Dr Mohamed Ghazali bin Datuk Mohamed Yusoff dari Malaysia telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘The Halal Economy: Emergence, Challenges and Opportunities’.

Dalam kertas kerjanya, beliau antara lain menyentuh mengenai kebangkitan ekonomi halal di seluruh dunia serta cabaran-cabaran dan peluang-peluang yang terdapat di dalam ekonomi halal.
Manakala itu, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Norailis Ab Wahab pula telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘The Halal Industry Business Excellence Benchmarking in Achieving Competitive Advantage’.
Pada sesi kedua, empat topik telah dibentangkan iaitu ‘Understanding The Toyyiban Component of Halal Cosmetic System in Malaysia’ oleh Dr Zalina Zakaria; ‘Awareness and Demand for Halal and Tayyib Meat Products Supply Chain’ oleh Dr Zeiad Amjad Abdulrazzak Aghwan; ‘Tourism Development in Semeulue District, Acheh Province: Implementation of Sharia Tourism Concept in Islamic Shari’a Region’ oleh Dr Sabariah Bangun dan ‘Striving for Excellence in Halal Business: A Case Study of PSSD Malaysia’ oleh Nor Surilawana binti Haji Sulaiman.
Sesi ketiga pula mengetengahkan tiga topik iaitu ‘From Paddock to Plate: The Role of Certification Bodies in Halal Meat Industry in Australia’ yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Siti Zubaidah Ismail; ‘The Missing Dimension in The Halalan Tayyiban Food Quality Management’ oleh Dr Shereeza binti Mohamed Saniff dan ‘Halal Slaughtering Issues from Exporting Country Perspectives: A Case Study of New Zealand’ oleh Aspiyati Jusoh.
Manakala itu, pada sesi keempat esok pagi, empat orang akan membentangkan kertas kerja mereka iaitu Profesor Madya Nurdeng Deuraseh dengan topik ‘Preservation and Protection of Environment and Health As New Essential Value of Maqasid Shariah’; Pengiran Dr Hajah Siti Norainna binti Pengiran Haji Besar dan Noraqilah binti Mohammad akan membentangkan topik ‘Persepsi Halal dalam Pengguna di Negara Brunei Darussalam’; Dr Nurol Huda binti Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail akan membentangkan mengenai ‘Kehalalan Rezeki: Analisis Sumber Pemilikan Harta’ dan Haji Suhaili bin Haji Momin pula akan membentangkan mengenai ‘Perkhidmatan Peguambela dan Peguamcara dari Firma-firma Peguam Syarie’.