Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai seminar khas kemahiran ibu bapa yang akan diadakan pada 19 Ogos ini di Dewan Serba Guna II, Kompleks Sukan Sungai Kebun.
Seminar bertajuk ‘Ibu Bapa yang lebih baik untuk masa depan yang lebih baik’ akan disampaikan oleh mantan Pengarah Perkembangan Kurikulum & Penceramah Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.
Antara aktiviti yang akan dimuatkan dalam seminar itu nanti termasuk aktiviti senam minda, kepentingan syukur, anak amanah Allah, pendidikan anak cara Rasulullah, perbezaan anak lelaki dan perempuan, konsep sistem persekolahan dan pembelajaran, formula kejayaan pelajaran anak-anak, rangsangan kemahiran berfikir aras tinggi, empat sarana penglibatan ibu bapa bersama anak-anak dan amalan untuk pemantapan kerohanian keluarga.
Seminar tersebut akan mengambil masa selama lebih empat jam bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan ibu bapa yang mendaftar dengan segera akan mendapat buku amalan harian keluarga secara percuma.