Seminar kukuhkan kefahaman akidah

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) buat kali kedua telah menganjurkan Seminar Kefahaman Akidah dan Pemikiran Semasa 2019 (SEKAPES) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Perasmian seminar berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Sejurus majlis perasmian SEKAPES itu, tetamu yang hadir mendengarkan pembentangan Kertas Perdana I oleh Rektor Universitas PTIQ Jakarta Indonesia, Profesor Dr Nasaruddin Umar dengan tajuk ‘Epistemologi Keilmuan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Belajar kepada Impersonal Teachers’.

Pada SEKAPES 2019, sebanyak 56 kertas kerja dibentangkan dengan tema utama ‘Pendidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah Asas Kemurnian Amalan Ummah’ yang dibahagikan lagi kepada sembilan sub-tema. Selain itu, empat kertas utama juga dibentangkan oleh pembentang dari dalam dan luar negara.

Antara objektif seminar berkenaan adalah bagi mengukuhkan kefahaman akidah dalam kalangan umat Islam masa kini dan seterusnya memperkasa amalan-amalan harian Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan umat Islam.

Selain itu, seminar juga diharapkan dalam mengenal pasti isu-isu dan cabaran dalam pendidikan akidah dan mencapai penyelesaian jangka pendek dan panjang dalam menangani fahaman dan pemikiran semasa yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di samping bagi menyebarluaskan pendidikan akidah dalam masyarakat menerusi karya-karya ilmiah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan pegawai-pegawai kanan KHEU, pengetua dan guru besar sekolah-sekolah di bawah KHEU, pegawai-pegawai utama, pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

SEKAPES merupakan anjuran bersama Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, Fakulti Usuluddin dan Fakulti Syariah, KUPU SB.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir bersama para tetamu yang lain pada seminar itu.
Antara tetamu yang hadir mendengarkan pembentangan kertas kerja pada seminar tersebut.
Salah seorang pembentang membentangkan kertas kerja pada seminar tersebut.

Antara hadirin yang hadir pada seminar tersebut.